Peruntukan tambahan untuk Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai

Aida Aziz
Disember 28, 2019 04:51 MYT
TAN: Kerajaan negeri memberikan sokongan sepenuhnya untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 kerana ia adalah satu agenda kebangsaan, jadi kita akan turut membantu dari segi peningkatan jumlah pelancong. - Astro AWANI
Peruntukan tambahan diperlukan untuk memperhebatkan lagi kemudahan di Pulau Pangkor yang akan diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) pada 1 Januari depan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing, peruntukan sedia ada berjumlah RM10 juta sebelum ini akan digunakan untuk kerja menaik taraf pelbagai kemudahan asas.
"Sejumlah RM10 juta diperuntukkan setakat ini untuk kemudahan asas, pembangunan modal insan termasuk pelbagai latihan dan kempen dilaksanakan di kawasan peranginan itu.
"Bagi kerja-kerja menaik taraf seperti jeti penumpang dan kargo, lalu lintas pejalan kaki, pencahayaan, lanskap dan sebagainya telah kita laksanakan menerusi peruntukan daripada beberapa kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
"Kerajaan negeri akan memohon lagi kerana peruntukan sedia ada tidak begitu mencukupi, jadi kita akan laksanakan kerja-kerja menaik taraf secara berperingkat," katanya selepas merasmikan Temasya Budaya @ Pasir Salak di Kompleks Sejarah Pasir Salak di sini pada Sabtu.
Katanya lagi, pihaknya sedia mendengar beberapa cadangan daripada pihak swasta yang ingin melabur di Pulau Pangkor seperti mahu membina jeti baharu yang lebih canggih atau membina pusat membeli-belah serta hotel baharu bertaraf tiga bintang ke atas.
Sementara itu, katanya kerajaan negeri mensasarkan kehadiran 7.6 juta pelancong domestik manakala jumlah pelancong asing dijangka meningkat sehingga lapan peratus ke negeri Perak sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
"Kerajaan negeri memberikan sokongan sepenuhnya untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 kerana ia adalah satu agenda kebangsaan, jadi kita akan turut membantu dari segi peningkatan jumlah pelancong," katanya.
Dalam pada itu ujarnya, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijangka berkenan merasmikan pengisytiharaan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai.
Bagaimanapun tarikh perasmian masih belum dimuktamadkan kerana sedang menunggu tarikh perkenan Sultan Nazrin.
#Pasir Salak #pulau bebas cukai #Pulau Pangkor #Tahun Melawat Malaysia 2020 #Tan Kar Hing
;