Peruntukan tambahan RM5.5 juta jadikan Pasar Siti Khadijah lebih kondusif

Bernama
Oktober 20, 2024 11:30 MYT
Peruntukan ini sangat bermakna bagi rakyat Kelantan, khususnya 1,400 peniaga yang bergantung kepada pasar itu sejak 1985. - Foto fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Peruntukan tambahan sebanyak RM5.5 juta bagi menambah baik Pasar Siti Khadijah di sini akan mewujudkan suasana lebih kondusif di pasar ikonik Kelantan itu.
Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah Ahmad Nazri Che Omar berkata transformasi ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada peniaga tetapi juga kepada pengunjung.
Beliau menjelaskan, peruntukan tersebut akan digunakan untuk kerja-kerja seperti pendawaian elektrik, mengecat bahagian dalam dan luar pasar, pembaikan struktur longkang, serta penambahbaikan kemudahan tandas.
"Kami dimaklumkan kerja-kerja tersebut akan dimulakan minggu hadapan dengan langkah pertamanya adalah kerja pembersihan sampah di seluruh bangunan pasar dan seluruh proses penambahbaikan dijadualkan siap dalam tempoh lapan minggu ," katanya kepada Bernama.
Menurutnya, peruntukan ini sangat bermakna bagi rakyat Kelantan, khususnya 1,400 peniaga yang bergantung kepada pasar itu sejak 1985.
Ahmad Nazri berkata Pasar Siti Khadijah bukan sahaja berfungsi sebagai pusat perniagaan utama rakyat Kelantan, tetapi juga merupakan destinasi wajib bagi pelancong yang datang ke negeri ini.
Beliau menjelaskan bahawa penambahbaikan ini akan memberi "persegaran" kepada pasar, menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan luar negeri, serta merancakkan lagi aktiviti perniagaan.
Siti Hajar Rosli, 32, seorang peniaga keropok lekor yang mewarisi perniagaan daripada mentuanya, turut menyambut baik usaha kerajaan. Beliau berkata keprihatinan ini sangat bermakna kepada semua peniaga, memandangkan pasar tersebut telah lama tidak diselenggara dengan baik.
"Sudah tiba masanya pasar yang suram ini diberi nafas baharu bagi mewujudkan suasana yang lebih ceria," katanya.
"Sebagai peniaga, kami memang harap pasar ini diceriakan semula kerana memang banyak rungutan diterima daripada pengunjung luar yang mengatakan pasar ini 'indah khabar dari rupa'," katanya.
Seorang lagi peniaga, Amin Zulkifli, 33, berkata kewujudan pelbagai pasar raya besar di Kelantan memberikan saingan sengit kepada peniaga di Pasar Siti Khadijah jika pasar itu tidak ditambah baik.
Menurutnya, langkah kerajaan untuk menaik taraf pasar tersebut sangat tepat pada masanya, terutama dengan trend perniagaan dalam talian yang semakin menjadi pilihan pembeli.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025, turut menyentuh tentang kunjungannya ke beberapa negeri untuk bertemu rakyat dan mendengar permasalahan mereka, yang membantu dalam merangka belanjawan tersebut.
Antara lokasi yang dilawati ialah Pasar Siti Khadijah, dan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.5 juta untuk menaik taraf pasar ikonik tersebut.
Perdana Menteri berkata: "Saya berkunjung ke Pasar Siti Khadijah, Kelantan, untuk melihat sendiri keadaan pasar yang daif dengan beberapa masalah asas seperti bumbung, tandas, bekalan elektrik dan air yang terus membelenggu warga serta peniaga, selain ancaman banjir. Namun, semangat mereka tetap cekal dan kuat."
-- BERNAMA
#Pasar Siti Khadijah #peruntukan tambahan #pusat perniagaan #aktiviti perniagaan
;