Peruntukan tambahan RM3.07 juta, teruskan pembinaan Masjid Changlun - PM
Hilmi Malik
April 30, 2023 19:14 MYT
April 30, 2023 19:14 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pembinaan Masjid Changlun, Kedah dengan jumlah peruntukan tambahan sebanyak RM3.07 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka itu menjadikan jumlah keselurahan kos pembinaan masjid berkenaan sebanyak RM5.77 juta.
“Projek ini akan dilaksanakan dengan kadar segera sekali gus dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat untuk mengimarahkan masjid.
“Harus diulangi bahawa Kerajaan Perpaduan tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri demi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Anwar menyatakan, tindakan itu merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam menggalas tanggungjawab selain meletakkan hak rakyat sebagai keutamaan ketika ini.
Usaha itu juga, katanya, bagi memastikan keseimbangan dalam pembangunan melibatkan semua negeri di negara ini.