Peruntukan tambahan RM200 juta diguna baiki kerosakan dalam rumah anggota tentera

Bernama
Julai 21, 2023 18:58 MYT
Affendi menyambut baik keputusan kerajaan meluluskan peruntukan itu bagi memastikan kesejahteraan anggota ATM dan keluarga mereka terpelihara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peruntukan tambahan RM200 juta bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diumum baru-baru ini, akan digunakan antaranya bagi pembaikan kerosakan dalam rumah seperti lekapan tandas, siling bocor, perpaipan lama dan lekapan elektrik.
Markas ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyambut baik keputusan kerajaan meluluskan peruntukan itu bagi memastikan kesejahteraan terpelihara bukan hanya kepada anggota ATM, tetapi juga keluarga mereka.
Menurut kenyataan itu peruntukan tersebut amat penting dalam memastikan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara dapat dilaksanakan dengan sempurna.
"Ia juga akan digunakan bagi pembaikan di berek anggota bujang dan penyelenggaraan infra di kawasan RKAT antaranya kerosakan lif di blok kediaman, lampu jalan, jalan berlubang, saluran kumbahan, kerosakan tangki air utama serta kerosakan kemudahan rekreasi seperti taman permainan kanak-kanak, gelanggang sukan dan dewan serbaguna," menurut kenyataan itu.
Markas ATM memaklumkan melalui peruntukan itu sudah pasti ia dapat menambah baik tahap keselesaan anggota tentera dan keluarga yang mendiami RKAT seterusnya menyumbang kepada peningkatan moral warga ATM.
Menurut kenyataan itu ATM akan sentiasa memastikan aspek kebajikan keseluruhan anggota ditangani secara holistik.
"Ini bukan sahaja meliputi keselesaan tempat tinggal malah peralatan dan perkakasan yang diperlukan untuk tugasan mereka serta gaji dan elaun," menurut kenyataan itu.
Pemerkasaan aspek kebajikan ini juga selari dengan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang seperti mana yang digariskan melalui teras keutamaan yang kedua.
"... iaitu Memperkasa Warga ATM Yang Cemerlang dalam memperlengkapkan serta membangunkan modal insan Angkatan Masa Hadapan seperti yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan," katanya.
Pada 7 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan tambahan RM200 juta bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota ATM di seluruh negara.
Beliau dilaporkan berkata kerajaan meluluskan peruntukan ini setelah melihat kedudukan perumahan tentera yang sangat teruk dan terbiar sekian lama.
-- BERNAMA
#ATM #peruntukan tambahan #rumah anggota tentera #Affendi Buang
;