Peruntukan spektrum 5G masih dalam penelitian - Zahidi
Bernama
Julai 25, 2020 04:36 MYT
Julai 25, 2020 04:36 MYT
Kerajaan masih meneliti pelbagai aspek termasuk keupayaan syarikat telekomunikasi sebelum membuka tender untuk agihan jalur frekuensi 700MHz, jalur perintis bagi pelaksanaan rangkaian telekomunikasi selular generasi kelima (5G) negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Katanya turut diteliti ialah sama ada jalur frekuensi itu akan diperuntuk kepada satu konsortium atau pemegang lesen individu.
"... secara asasnya kita akan beri keutamaan kepada syarikat telekomunikasi yang ada subscribers dahulu.
"Kita akan umumkan keputusan secepat mungkin kerana jalur frekuensi ini penting untuk maksimumkan penggunaan di seluruh negara," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Kawalan 5G (5GCC) di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, di sini pada Sabtu.
Terdahulu Zahidi yang berada di Langkawi untuk lawatan kerja sehari turut melawat Projek Demonstrasi 5G (5GDP), antaranya keselamatan dan pengurusan pelabuhan 5G di Pelabuhan Langkawi, Tanjung Lembung; Pertanian Pintar di Mardi Agro Technology, Lubuk Semilang dan program eKelas di Pusat Internet Kampung Padang Wahid, Kedawang.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Wan Romani Wan Salim.
Sementara itu, Zahidi berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang dalam proses mengaktifkan kembali Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dengan keutamaan pengambilan petugas adalah mereka yang pernah berkhidmat dengan jabatan tersebut sebelum ini.
"KKMM akan mengadakan temu duga untuk membuat ambilan baharu melalui proses pengambilan yang digariskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam dengan mengutamakan bekas pegawai JASA yang kehilangan kerja apabila Pakatan Harapan memerintah.
"Petugas baharu dijangka seramai 500 orang namun begitu kita juga mendapat permintaan daripada bekas petugas Biro Tatanegara (BTN), jadi kita akan lihat juga perkara ini sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.
-- BERNAMA
#5G
#Datuk Zahidi Zainul Abidin
#kerajaan
#KKMM
#Langkawi
#Menteri Komunikasi dan Multimedia
#Pakatan Harapan