Peruntukan SJKC bagi 2016 selesai diagih akhir Mac ini
Bernama
Mac 4, 2017 20:25 MYT
Mac 4, 2017 20:25 MYT
Peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bagi 2016 akan selesai diagihkan kepada semua sekolah aliran itu pada akhir bulan ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata sehingga Februari lepas, 89 SJKC di bawah Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) di Johor telah menerima manfaat daripada bantuan kewangan berkenaan.
"Selesai agihan di Johor kita akan susuli ke Melaka, Negeri Sembilan dan seterusnya seluruh negara dengan memberi fokus kepada sekolah bantuan kerajaan yang memerlukan bantuan penyelenggaraan infrastruktur.
"Peruntukan yang diberikan ini merupakan bukti kukuh keprihatinan kerajaan dalam membantu masyarakat Cina," katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA ke-15 di Wisma MCA di sini hari ini.
Chong berkata demikian bagi menjawab dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mendakwa kerajaan tidak akan meneruskan pengagihan peruntukan kepada SJKC itu.
Chong yang juga Ketua Pemuda MCA sebaliknya meminta penjelasan mengenai peruntukan RM4 juta kepada SJKC di Pulau Pinang yang diuar-uarkan Guang Eng pada Januari lepas yang katanya masih tidak disalurkan.
"Kami dimaklumkan sehingga 1 Mac lepas SJKC yang dijanjikan untuk menerima bantuan daripada kerajaan Pulau Pinang masih belum menerima sebarang cek. Pada majlis pengumuman itu sekolah cuma menerima cek contoh besar tertulis RM4 juta yang ingin diagihkan kepada 85 buah sekolah.
"Kalau dulu dia (Guang Eng) pernah tanya dan menyindir kenapa kita tidak menggunakan pindahan secara elektronik untuk mempercepatkan agihan, tetapi hari ini saya ingin bertanya kembali sudah berapa bulan sejak pengumuman itu kenapa masih ada sekolah menunggu?" katanya.
Dalam perkembangan lain, Chong berkata Pemuda MCA akan mengadakan dialog dengan belia masyarakat Cina di seluruh negara bagi mendapatkan input lebih mendalam mengenai Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Dialog yang akan bermula April ini juga bertujuan mengumpul sebanyak mungkin pandangan anak muda masyarakat Cina untuk membentuk negara mengikut acuan yang diinginkan menjelang 2050.
-- BERNAMA