Peruntukan RM750,000 bantu naik taraf infrastruktur Gua Sireh, Baling
Bernama
Januari 10, 2023 17:02 MYT
Januari 10, 2023 17:02 MYT
BALING: Sejumlah RM750,000 diperuntukkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk menaik taraf infrastuktur di Gua Sireh di sini.
Pengurus Besar KEDA Datuk Kamaruddin Abd Akib berkata, Gua Sireh merupakan lokasi yang dicadangkan untuk dimajukan di bawah Projek Eko Pelancongan Warisan Alam dalam Program Desa Lestari Kampung Padang Che Mas.
"Peruntukan RM750,000 untuk penambahan infra (infrastruktur) dan akses logistik di Gua Sireh ini merangkumi titi dan pagar sepanjang 400 meter di dalam gua, pembelian van pelancong, penambahbaikan fasiliti dan pembelian peralatan gua, lesen hiburan, sewaan, cukai dan insurans.
"KEDA yakin dengan penambahan infrastruktur dan akses logistik ini, Gua Sireh akan menjadi pilihan pengunjung berikutan keunikan dan keindahannya serta panorama di dalam gua ini sungguh menakjubkan," katanya kepada media selepas lawatan ke Gua Sireh di sini, hari ini.
Beliau berkata projek naik taraf itu dijadualkan bermula Mac ini dan tumpuan akan diberikan kepada penyediaan laluan yang lebih selamat serta menambah pencahayaan di dalam gua itu.
Katanya, kerja-kerja itu bagaimanapun akan memakan masa kerana perlu membawa masuk bahan binaan dan peralatan ke dalam gua itu yang telah dibuka kepada pengunjung sejak Februari 2019.
"Selepas pendakian kira-kira 100 meter hingga ke pintu gua, pengunjung akan dapat melihat keindahan semula jadi yang terbentuk di siling dan dinding gua di sepanjang laluan masuk ke dalam gua, iaitu sejauh 400 meter, ia akan memberikan satu pengalaman yang cukup menarik," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Eco Pelancongan Gua Sireh Baling Berhad Mohd Sazli Ibrahim berkata terdapat 20 orang malim gua akan bertindak sebagai pemandu arah kepada pengunjung yang ingin masuk ke dalam gua itu.
"Sejak ia dibuka, dianggarkan seramai 100 pengunjung telah datang ke Gua Sireh dan keluasan gua ini boleh menempatkan kira-kira 1,000 hingga 2,000 pengunjung pada satu-satu masa," katanya.
-- BERNAMA
#Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah
#Gua Sireh
#menaik taraf infrastruktur
#Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah