Peruntukan RM6 bilion bukti kesungguhan kerajaan perkasa bidang TVET - Dr Annuar Rapaee
Astro Awani
November 7, 2020 14:52 MYT
November 7, 2020 14:52 MYT
SIBU: Komitmen kerajaan memperkasa bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dibuktikan dengan peruntukan RM6 bilion bagi tahun 2021.
Peruntukan berkenaan diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat.
Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr Annuar Rapaee menyifatkan peruntukan berkenaan amat penting dalam usaha memantapkan bidang berkenaan sebagai persiapan menuju ke arah Revolusi Perindustrian 4.0.
“Itu adalah merupakan satu jumlah yang besar.
“Saya bersyukur kerana kerajaan persekutuan menitiberatkan tentang latihan teknikal dan vokasional ini," ujarnya ketika ditemui Astro AWANI di sini.
Tambahnya, kebanyakan industri kini menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) dan tumpuan harus diberikan untuk bidang ini terutamanya ketika dunia berdepan pandemik COVID-19.
“Sekarang ini kebanyakan daripada industri menggunakan teknologi yang merupakan Internet of Things, sensor dan juga macam-macam.
“Jadi saya rasa tumpuan harus diberi kepada bidang ini disebabkan keadaan pandemik ini perlu membanyakkan usaha untuk yang berkelayakan dan yang mahir," tambahnya.
Dr. Annuar pada masa sama berharap peruntukan yang besar ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh institusi-institusi teknikal dan vokasional di Sarawak.
Dalam Pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat kerajaan telah mengumumkan pemberian pinjaman kepada 24,000 peserta program TVET di institusi latihan kemahiran awam dan swasta.
RM \300 juta turut disediakan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
#Belanjawan 2021
#Sarawak
#COVID-19
#TVET
#Astro Awani
#pendidikan
#rakyat
#menteri
#Sains
#Internet
#pandemik
#kerajaan
#Dr Annuar Rapaee
#Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz