Peruntukan RM56.4 juta untuk imam, bilal, siak, guru takmir, guru KAFA Selangor

Astro Awani
Mei 2, 2023 15:40 MYT
Perincian peruntukan tersebut melibatkan imbuhan 752 imam pada kadar RM850 sebulan dan bayaran one-off RM600 dengan implikasi kewangan sebanyak RM8.12 juta. - Twitter Global Peace Mission Malaysia @GPMMalays
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima peruntukan sebanyak RM56.4 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi bayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memaklumkan, peruntukan yang diterima oleh Selangor adalah sebahagian daripada RM968,771,700 kepada Jakim oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).
"Untuk tahun 2023, sebanyak RM1.5 bilion telah diperuntuk bagi tujuan tersebut melibatkan 11 agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri termasuk Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia, Majlis Agama Islam Malaysia Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, TV Al Hijrah dan Institut Kefahaman Islam Malaysia.
"Daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak RM968.7 juta diperuntuk kepada Jakim, merangkumi bajet pengurusan RM915.28 juta dan bajet pembangunan berjumlah RM53.5 juta," katanya.
Bagi Selangor, perincian peruntukan tersebut melibatkan imbuhan 752 imam pada kadar RM850 sebulan dan bayaran one-off RM600 dengan implikasi kewangan sebanyak RM8.12 juta.
Jakim turut memperuntuk sebanyak RM577,809.60 bagi caruman Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) kepada 2,482 imam, bilal, siak dan guru takmir pada kadar RM232 setahun.
#bajet #Jabatan Perdana Menteri #JAKIM #Sultan Sharafuddin Idris Shah #Datuk Dr Mohd Na im Mokhtar
;