Peruntukan RM5 bilion untuk 32 juta dos vaksin tidak benar

Sinar Harian
Mei 24, 2021 06:44 MYT
Menurut CITF, Vaksin yang diperoleh membabitkan jenis dua dos menjadikan jumlah dos yang diperoleh Malaysia adalah sebanyak 73.5 juta dos. - Foto fail
SHAH ALAM: Dakwaan seorang pengguna media sosial yang dikenali Irwan Sanei kononnya Malaysia membelanjakan peruntukan RM5 bilion untuk memperoleh hanya 32 juta dos vaksin COVID-19 adalah tidak benar dan mengelirukan.
Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) menerusi satu kenyataan menjelaskan, peruntukan tersebut sebenarnya adalah untuk perolehan 73.5 juta dos termasuk kos pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Buat masa ini, kami telah membelanjakan RM3.5 juta untuk mendapatkan vaksin yang mencukupi buat 120 peratus populasi rakyat Malaysia iaitu 38.5 juta orang.
“Vaksin yang diperoleh membabitkan jenis dua dos menjadikan jumlah dos yang diperoleh Malaysia adalah sebanyak 73.5 juta dos.
“Ia bukan 32 juta dos sebagaimana ditulis oleh Irwan Sanei yang gagal menggandakan jumlah dos yang diperlukan oleh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Dalam kenyataan sama, CITF turut membandingkan jumlah perolehan vaksin bagi negara Singapura dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut CITF, Singapura membelanjakan sebanyak RM3.1 bilion bagi mendapatkan sebanyak 11.4 juta dos vaskin untuk 5.7 juta rakyatnya, manakala AS pula difahamkan membelanjakan RM8.07 bilion untuk 100 juta dos vaksin Pfizer.
“Berdasarkan maklumat ini, perolehan vaksin yang dibuat oleh Malaysia adalah adil dan lebih kompetitif berbanding dengan negara lain,” menurut CITF.
CITF turut memaklumkan bahawa satu laporan polis telahpun dibuat ke atas Irwan Sanei kerana menyebarkan berita palsu tersebut.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian. Peruntukan RM5 bilion untuk 32 juta dos vaksin tidak benar
#vaksin #peruntukan #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #PICK #COVID-19
;