Peruntukan RM40 juta untuk KUTAR diserah kepada tabung amanah apabila diluluskan
Bernama
Disember 4, 2019 06:41 MYT
Disember 4, 2019 06:41 MYT
Peruntukan RM40 juta untuk manfaat Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) bagi tahun 2019 akan diserahkan kepada tabung amanah yang dikendalikan Tunku Abdul Rahman Alumni Association (TAA) sebaik sahaja ia ditubuhkan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Menurutnya, penubuhan tabung amanah itu dijangka diluluskan pada akhir bulan ini.
Kerajaan sebelum ini menjanjikan peruntukan sekurang-kurangnya RM30 juta setiap tahun untuk tabung amanah yang dicadangkan bermula 2019, untuk manfaat KUTAR dan pelajar institusi tersebut, katanya.
"Untuk tahun ini, sebanyak RM40 juta akan diperuntukkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Selain TAA, yang terdiri daripada bekas pelajar KUTAR yang merupakan golongan profesional dan usahawan perniagaan berjaya, pemegang amanah yang dicadangkan akan mempunyai seorang wakil masing-masing daripada kalangan pelajar KUTAR dan Kementerian Kewangan, katanya.
"TAA harus diberikan peluang sepenuhnya untuk melaksanakantanggungjawab mereka dan membuktikan cara mereka dapat memenuhi bidang tugas mereka untuk menggunakan dana bagi manfaat KUTAR dan kebajikan para pelajar mereka," kata Lim.
-- BERNAMA
#Alumni
#bekas pelajar
#dana
#kebajikan
#Kementerian Kewangan
#Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman
#KUTAR
#Lim Guan Eng
#pelajar
#pemegang amanah
#TAA
#tabung amanah