Peruntukan RM30 juta untuk pembangunan TVET di CENTEXS - Ahmad Zahid
Bernama
September 16, 2023 15:13 MYT
September 16, 2023 15:13 MYT
KUCHING: Kerajaan meluluskan peruntukan pembangunan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Komersial, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dana berkenaan, sebagai kolaborasi jangka masa panjang TVET dan CENTEXS, bagi meningkatkan kepakaran tenaga kerja khususnya dalam bidang teknologi dan tenaga boleh diperbaharui.
"Ini sebagai kos pembiayaan untuk pelajar daripada pelbagai kursus... dan juga pembangunan makmal dan kemudahan pembelajaran bagi bidang berteknologi tinggi.
"Saya juga mencadangkan bidang robotik dapat disediakan, di samping kursus baharu yang menuju ke arah komunikasi berteknologi tinggi... ini akan dapat menggali beberapa peluang dan potensi baharu," katanya dalam sidang media selepas program lawatan rasmi ke CENTEXS Santubong di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET berkata CENTEXS, sebagai salah satu peneraju dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, telah berjaya meletakkan Sarawak di barisan hadapan dalam industri hidrogen dan tenaga solar.
AHMAD ZAHID-CENTEXS 2 (AKHIR) KUCHING
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata berkata dana berkenaan menandakan komitmen kerajaan persekutuan untuk meneroka lebih banyak kerjasama antara kedua-dua institusi berkenaan di masa hadapan.
"Kita perlu keluar dari kepompong dan jangan berfikir di luar kotak, tetapi berfikirlah tanpa kotak. Jadi, TVET dan CENTEXS mesti tidak berlawan tetapi bekerjasama, melengkapi (satu sama lain) dan membantu...saya yakin lawatan ini bukan kali terakhir, kerana saya mahu melihat keberkesanan dana ini kepada CENTEXS," katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dan Pengerusi CENTEXS Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
-- BERNAMA