Peruntukan RM3 juta bagi pembinaan 10 RDC di seluruh negara
Bernama
Mac 19, 2023 04:20 MYT
Mac 19, 2023 04:20 MYT
KUALA KANGSAR: Sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi pembinaan 10 Ruang Daya Cipta (RDC) di seluruh negara yang bertujuan memantapkan aktiviti Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar.
Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata RDC berkenaan yang dibangunkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), berfungsi menyediakan ruang dan kemudahan latihan kepada komuniti luar bandar yang menjurus kepada aktiviti inovasi serta daya cipta.
"Kemudahan yang disediakan di RDC ini menggabungkan elemen automasi dan pembengkelan seperti bengkel mesin, bengkel kraf tangan dan peralatan mini studio.
"Ia bertujuan untuk memenuhi keperluan golongan B40 dan golongan terpinggir serta kurang mendapat akses teknologi untuk bersedia dalam menghadapi era pendigitalan pada masa kini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian RDC Manong dan Sesi Penyerahan Produk Inovasi Program Ekosistem Inklusif PKS (I-SEE) di Pusat Agromakanan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Manong, di sini pada Ahad.
Beliau berkata tiada sebarang bayaran dikenakan kepada individu yang berminat menggunakan pelbagai kemudahan di mana-mana RDC, selain ia dilihat berpotensi dalam memberi manfaat kepada lebih 150,000 pengguna.
"Individu atau komuniti yang tinggal berdekatan dengan dengan RDC ini boleh berkumpul dalam suasana pembelajaran tidak formal dan membangunkan pelbagai produk inovasi yang mampu memberi nilai tambah kepada mereka," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai EKsekutif YIM Dr Sharmila Mohd Salleh berkata 10 RDC yang telah dibangunkan itu melibatkan lokasi di Sabak Bernam (Selangor), Sandakan (Sabah), Langkawi (Kedah), Tumpat (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), Bera (Pahang), Layang-Layang dan Kota Tinggi (Johor), Miri (Sarawak) dan Manong (Perak).
Beliau berkata pihaknya juga sedang merancang untuk membangunkan dua lagi RDC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur dalam waktu terdekat.
"Pembangunan RDC ini dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan, pemain industri, ahli akademik, serta pelbagai pihak lain yang berkepentingan.
"Kita berpendapat pembangunan RDC ini amat penting dan memberi nilai tambah dalam meningkatkan tahap inovasi rakyat khususnya golongan luar bandar untuk menangani pelbagai isu serta cabaran dalam komuniti masing-masing," katanya.
-- BERNAMA