Peruntukan RM3.43 juta bagi pembinaan prasarana 10 sekolah

Bernama
Mei 4, 2019 05:55 MYT
Kelulusan projek adalah berdasarkan permohonan sumbangan daripada pihak PIBG sekolah yang terlibat. - Gambar hiasan
Sejumlah RM3.43 juta peruntukan diberikan kepada 10 buah sekolah bagi pembinaan prasarana di sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataan berkata bantuan yang diberikan menerusi Peruntukan Projek Khas bakal memberi kemudahan yang lebih selesa dan memenuhi keperluan para pelajar serta guru.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan kelulusan pembinaan prasarana tersebut bersama sumbangan kemasyarakatan.
"Kelulusan projek-projek ini adalah berdasarkan permohonan sumbangan daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang terlibat.
"Antaranya pembinaan dewan terbuka dan pagar sekolah, menaik taraf dan membaik pulih surau, bangunan serta kemudahan asas sekolah," jelas kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, semakan dan penilaian di tapak telah dijalankan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan laporan dikemukakan kepada pihak kementerian.
Projek itu kemudiannya diluluskan memandangkan terdapat keperluan mendesak untuk dilaksanakan di sekolah terbabit.
Antara sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak dan SMK Hulu Kelang di Selangor serta SMK Bukit Indah, Ampang, Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
#Azmin Ali #guru #kelulusan #keperluan mendesak #pelajar #pembinaan #peruntukan #Peruntukan Projek Khas #PIBG #prasarana #sekolah
;