Peruntukan RM25 juta baik pulih Pantai Merdeka serta pembinaan jeti

Hilmi Malik
Ogos 1, 2023 19:01 MYT
Ketiadaan jeti yang sempurna di Pantai Merdeka, dakwa mereka, menyukarkan pergerakan pelancong untuk turun ke darat terutamanya melibatkan golongan warga emas. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Peruntukan sebanyak RM25 juta akan dikhaskan bagi usaha membaik pulih Pantai Merdeka termasuk isu ketiadaan jeti yang sempurna di kawasan pelancongan itu sejak sekian lama.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, isu di jeti berkenaan secara keseluruhannya, bagaimanapun, berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kita sudah ada peruntukan dalam bajet JPS untuk baik pulih pantai itu semula. Sebanyak RM25 juta telah diluluskan dan akan baik pulih semuanya, kemudian akan ada sebuah jeti baharu di Pantai Merdeka.
“Ombak di kawasan itu (Pantai Merdeka) memang kuat, maka jeti terapung yang pernah dibina tidak mampu bertahan lama dan roboh.
“Tanjung Dawai memang sudah ada jeti. Cuma yang itu Kementerian Pengangkutan kena ambil perhatianlah (baik pulih jeti Tanjung Dawai),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Astro AWANI pada Selasa telah membawakan isu keluhan penduduk setempat berhubung keadaan jeti Tanjung Dawai dan keadaan di Pantai Merdeka yang dikatakan tiada usaha untuk membangunkan kawasan pelancongan itu sejak sekian lama.
Ketiadaan jeti yang sempurna di Pantai Merdeka, dakwa mereka, menyukarkan pergerakan pelancong untuk turun ke darat terutamanya melibatkan golongan warga emas.
Situasi bertambah sukar apabila keadaan air laut pasang menyebabkan sebahagian besar pengunjung terpaksa turun daripada bot dan mengharung air laut.
Dua pantai berpotensi tetapi kenapa ia sepi?
Jeti Tanjung Dawai merupakan satu-satunya lokasi menaiki bot bagi tujuan pergerakan ke Pantai Merdeka.
Dalam pada itu, beberapa pengusaha pelancongan di kawasan berkenaan turut kecewa melihat keadaan jeti Tanjung Dawai yang sekian lama tidak diberi nafas baharu.
Dakwaan itu merujuk kepada infrastruktur jeti itu yang sudah kelihatan uzur sehingga beberapa struktur bumbung di jeti berkenaan sudah mula lopong dan retak akibat dipukul ribut.
Dakwa penduduk setempat, kawasan pelancongan itu mempunyai potensi besar membangun sekiranya wujud usaha untuk memajukan kawasan berkenaan.
#jeti #Pantai Merdeka #Tanjung Dawai #pelancongan #Muhammad Sanusi Md Nor
;