Peruntukan RM150 juta diguna jaga kebajikan anggota, baik pulih kuarters lama polis - KPN

Bernama
Julai 22, 2023 23:37 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ini termasuk mencari pejabat baharu ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) yang selama ini disewa oleh PDRM. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peruntukan RM150 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini antaranya akan dimanfaat untuk menjaga kebajikan serta membaik pulih kuarters dan balai polis lama bagi membolehkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerja dalam suasana kondusif serta selesa.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ini termasuk mencari pejabat baharu ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) yang selama ini disewa oleh PDRM.
Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau berkata kerja-kerja baik pulih mesti dilaksanakan dengan betul agar fasiliti agensi berkaitan berada di tahap yang terbaik.
Katanya peruntukan itu juga secara tidak langsung akan memantapkan lagi perkhidmatan PDRM.
Razarudin berkata progres kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan bagi agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, khususnya PDRM, perlu dipantau bagi memastikan warga pasukan keselamatan itu menerima manfaatnya.
"Saya juga telah menyatakan dalam mesyuarat saya bahawa RM150 juta ini perlu dipantau setiap minggu dari segi pembangunannya. Maksudnya jika kita mahu baik pulih, setiap minggu kita akan pantau untuk lihat perubahan di peringkat bawah ini.
"Biar kita rasa dan terlihat benda itu memang dibaik pulih dengan betul. Secara bukunya, tatakelola dan pengurusan pelaksanaannya mesti dalam keadaan yang baik dan betul," katanya.
Pada 15 Julai lepas, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur milik PDRM serta Jabatan Penjara di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata sebanyak RM45 juta diluluskan khusus untuk kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf serta perolehan di 117 pos kawalan Pasukan Gerakan Am dan RM40 juta bagi infrastruktur serta fasiliti berkaitan ESSCom.
Selain itu, RM50 juta diluluskan bagi menyelenggara kuarters PDRM yang mengalami kerosakan lantai pecah dan tandas bermasalah.
-- BERNAMA
#peruntukan polis #baik pulih kuarters #PDRM #Ketua Polis Negara Razarudin Husain
;