Peruntukan pembangkang: Jemput pihak ketiga mulakan rundingan MoU

Madiha Abdullah
September 11, 2024 22:12 MYT
Dalam masa yang sama, ahli politik juga perlu membuang mentaliti politik lama di mana isu peruntukan seumpama itu tidak ditimbulkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lebih baik jika dibawa pihak ketiga untuk memulakan rundingan Memorandum Persefahaman (MoU) berkait peruntukan pembangkang.
Felo Penyelidik Institut Tun Dr Mahathir Universiti Utara Malaysia (UUM), Mujibu Abd Muis berkata, antara nama yang boleh dipertimbang ialah bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, badan buka kerajaan seperti Bersih atau institusi rasmi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ini bagi mencari, barangkali, titik keserasian titik tengah antara dua pihak ini untuk mulakan rundingan sebenar secara bersemuka.
“Atau perundingan boleh dilakukan secara terbuka dengan mengundang pihak ketiga bagi memastikan perundingan itu benar-benar telus dan semua aspek perundangan tidak menjadi masalah pada kemudian hari.
“Mungkin boleh undang NGO berkepentingan seperti Bersih, Transparency International Malaysia dan Malaysia Corruption Watch (MCW),” katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI, pada Rabu.
Agenda AWANI: Analisis Debat Presiden Amerika Syarikat
Ujarnya, alternatif lain yang boleh juga digunakan ialah Parlimen, di mana semua perundingan dan syarat yang digariskan dalam MoU itu akan menjadi lebih rasmi dan formal.
Sementara itu, bagi penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, Ketua Whip harus memainkan peranan untuk memastikan setiap kehendak dan permintaan dibincangkan secara telus.
Dalam masa yang sama, ahli politik juga perlu membuang mentaliti politik lama di mana isu peruntukan seumpama itu tidak ditimbulkan.
“Kalau kita asyik rujuk zaman dahulu sebagai panduan, bagaimana nak bergerak ke hadapan dengan lebih maju. Perkara negatif seperti ini takkan beri kesan atau impak yang baik kepada rakyat.
“Apa salahnya kalau kita letak satu penanda aras baharu, bagaimana mahu menyediakan draf perancangan MOU berdasarkan bukan saja ikut selera ahli parlimen, tapi juga ketua whip,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah peruntukan tidak dinyatakan memandangkan terma bagi draf MoU itu masih belum dipersetujui PN.
Fadillah berkata, jumlah itu hanya akan diumumkan selepas keseluruhan terma terkandung dalam MoU itu dipersetujui kedua-dua pihak.
#peruntukan pembangkang #MoU #kerajaan #rundingan syarat
;