Peruntukan Khas Interim Sabah, Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta

Mirlen Axtius
September 12, 2024 18:22 MYT
Datuk Seri Fadillah memaklumkan terdapat beberapa perkara yang belum dapat diputuskan di peringkat jawatankuasa teknikal MTPMA63 akan dibawa dan dibincang diperingkat pimpinan tertinggi - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) hari ini memutuskan beberapa perkara yang telah dipersetujui termasuk Peruntukan Khas Interim untuk Sabah dan Sarawak yang dinaikkan kepada RM600 juta berbanding RM300 juta tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kenaikan peruntukan khas sepertimana yang terkandung dalam perkara 122D Perlembagaan Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu akan bermula pada tahun depan.
"Pada mesyuarat tadi, Perdana Menteri dalam ucapan aluannya ada menyatakan berhubung perkara 112D iaitu peruntukkan khas untuk Sabah dan Sarawak dimana tahun lalu sudah diumumkan sebanyak RM300 juta untuk setiap negeri (Sabah dan Sarawak).
"Kalau ikut interim ini ianya akan disemak setiap lima tahun tapi tadi Perdana Menteri putuskan untuk menaikkan kadar interim ini daripada RM300 juta kepada RM600 juta untuk setiap negeri, makna sekali ganda kenaikan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.
Sementara itu, katanya terdapat beberapa perkara yang belum dapat diputuskan diperingkat jawatankuasa teknikal akan dibawa dan dibincang diperingkat pimpinan tertinggi, iaitu Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
"Ada perkara yang dibincangkan tadi yang tak dapat diputuskan di peringkat jawatan kuasa teknikal yang dipengerusikan oleh saya dan kita bersetuju tadi perkara yang dalam kategori agree to disagree ataupun yang tak dapat diputuskan di mana ada pandangan yang kuat daripada negeri Sabah dan Sarawak dan juga Kerajaan Persekutuan.
"Perkara ini akan dibawa ke peringkat paling tinggi iaitu akan dibincang di antara tiga pimpinan tertinggi iaitu Perdana Menteri, Premier Sarawak dan juga Ketua Menteri Sabah.
"Antara perkara yang belum selesai itu ialah, berhubung kait dengan Duty Stem, Continental Share, Royalty dan sebagainya, jelasnya.
Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama pada mesyuarat itu Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta beberapa jemaah menteri dari persekutuan, Sabah dan Sarawak.
#Perjanjian Malaysia 1963 #Fadillah Yusof #Anwar Ibrahim #Sabah dan Sarawak
;