Peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu meningkat RM7.23 bilion tahun ini - PM Anwar

Bernama
Julai 10, 2024 16:16 MYT
Anwar (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU di antara Cypark dan Terengganu Inc pada Majlis Peluncuran Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark di Cypark Solar Merchang, hari ini. -Bernama
MARANG: Jumlah keseluruhan peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Terengganu pada tahun ini meningkat kepada RM7.23 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata jumlah itu termasuk perbelanjaan pengurusan agensi Persekutuan dan projek pembangunan di negeri itu, melebihi jumlah peruntukan RM5.99 bilion yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu pada 2022, iaitu sebelum pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Katanya, ini sekali gus menepis dakwaan bahawa peruntukan untuk Terengganu telah dikurangkan atau negeri tersebut diabaikan Kerajaan Persekutuan.
"Belum pernah berlaku, iaitu pimpinan Kerajaan Persekutuan (termasuk) Perdana Menteri, timbalan perdana menteri, menteri-menteri kanan, KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan semuanya duduk bersama dengan kerajaan negeri serta berbincang mengenai keutamaan di negeri-negeri.
"Ini kerana kadang-kadang keutamaan difikirkan di Putrajaya tidak sama dengan keutamaan di negeri maka kita ubah suai setelah mendengar (dari pihak) kerajaan negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Janakuasa Solar Hibrid Cypark Merchang di sini, hari ini.
Bagaimanapun Anwar berkata keutamaan yang harus diberikan oleh semua pihak termasuk kerajaan negeri adalah menghapuskan miskin tegar dalam kalangan rakyat.
Dalam hal tersebut, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada jentera Kerajaan Terengganu yang telah memberikan kerjasama baik kepada Kerajaan Persekutuan sehingga matlamat untuk menoktahkan miskin tegar di negeri ini bakal dicapai pada hujung Julai ini.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #kerajaan Persekutuan #terengganu #peruntukan perbelanjaan
;