Peruntukan kepada PKMS tidak bererti jika berhadapan birokrasi - Gapan

Astro Awani
Disember 2, 2021 16:00 MYT
Syed Hussien berkata, peruntukan berkenaan penting kepada PMKS untuk membantu mereka bangkit kembali dan bersaing di pasaran yang sedang di dalam proses pemulihan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peruntukan kepada sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) seperti yang diumum di dalam Bajet 2022 tidak membawa erti jika penyaluran bantuan tersebut lambat, berhadapan birokrasi dan tidak sampai kepada golongan sasar.
Presiden Gabungan Persatuan Anak Negeri Malaysia (Gapan), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, peruntukan berkenaan penting kepada PMKS untuk membantu mereka bangkit kembali dan bersaing di pasaran yang sedang di dalam proses pemulihan.
"Kami terdiri daripada sembilan persatuan anak negeri yang bergabung menegaskan, sektor PKMS telah melalui suatu fasa yang amat sukar di dalam meneruskan kehidupan perniagaan dan diharapkan fasa pemulihan ini dapat memberi peluang kedua kepada usahawan di negara ini.
"Namun begitu, kami ingin menegaskan pendekatan oleh Kerajaan seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pengumuman Bajet 2022 mestilah disalurkan tepat kepada golongan sasar.
"Kami juga mengalu-alukan peruntukan yang besar yang disediakan oleh kerajaan bagi memastikan PMKS di seluruh negara dapat terbela apabila memasuki tempoh pemulihan ekonomi selepas negara dilanda pandemik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu Syed Hussien menyarankan kerajaan mengiktiraf peranan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu menyalurkan bantuan kepada usahawan-usahawan yang benar-benar memerlukan.
"Kami menyokong sepenuhnya cadangan dan tindakan proaktif yang telah diambil Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar dalam mengkaji semula syarat serta kelayakan inisiatif serta bantuan yang ditawarkan oleh MEDAC dan agensi di bawahnya bagi memudah cara proses permohonan para usahawan mendapatkan pembiayaan.
"Saranan Noh bagi memudah cara proses permohonan ini bersesuaian dengan situasi semasa adalah sesuatu yang dinantikan oleh PMKS di seluruh negara," ujarnya.
#bajet #ekonomi #PPN #usahawan #NGO #Medac
;