Peruntukan gaji, emolumen Agong dikurangkan 10 peratus

Bernama
Jun 11, 2018 20:30 MYT
Seri Paduka Baginda amat tersentuh dan menzahirkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah bermurah hati menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia. - Gambar fail
Sultan Muhammad V memberi perkenan agar peruntukan gaji dan emolumen sebagai Yang di-Pertuan Agong dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang tempoh pemerintahan Seri Paduka sehingga 2021.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata ini kerana Seri Paduka amat prihatin tentang tahap hutang dan keadaan ekonomi negara serta mahu bersama-sama rakyat menunaikan tanggungjawab terhadap negara.
"Seri Paduka Baginda amat tersentuh dan menzahirkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah bermurah hati menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia yang diwujudkan kerajaan baru-baru ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat semalam, jumlah kutipan untuk Tabung Harapan Malaysia mencecah RM55,386,342.38.
Wan Ahmad Dahlan juga berkata bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Seri Paduka bertitah untuk tidak mengadakan majlis rumah terbuka di Istana Negara.
Anggaran peruntukan kewangan untuk majlis rumah terbuka tersebut sepatutnya digunakan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik, katanya.
-- BERNAMA
#10 peratus #Aidilfitri #ekonomi #emolumen #gaji #hutang #kerajaan #Malaysia #rakyat #Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz #Yang di-Pertuan Agong
;