Peruntukan bencana harus disalurkan mengikut keutamaan

Nazialita Geynna Maharan
November 7, 2017 13:40 MYT
Kerajaan negeri akan menilai semula keperluan bagi membolehkan pengagihan peruntukan bencana alam dapat disalurkan mengikut keutamaan.
Kerajaan negeri akan menilai semula keperluan bagi membolehkan pengagihan peruntukan bencana alam dapat disalurkan mengikut keutamaan.
Menter Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata sebagai permulaan, kerajaan negeri akan berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya mengguna pakai peruntukan banjir yang disalurkan Kerajaan Persekutuan bagi menangani bencana alam itu yang melanda Hulu Perak.
"Kita telah meminta peruntukan menangani masalah banjir di sesuatu kawasan dahalu tetapi masalah itu diselesaikan secara tidak langsung.
"Maka wang peruntukan itu dapat digunakan ke kawasan terjejas yang memerlukan bantuan dengan segera.
"Contohnya, jambatan di Kota Tampan yang kelihatan agak rendah dan terhakis akibat air deras. Apabila air deras dan tersekat maka ia akan melimpah ke jalan raya, begitu juga dengan Kampung Sumpitan, mungkin ketika pembinaan jambatan mereka tidak dapat meramalkan kadar atau jumlah air yang melimpah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan banjir di sini, malam tadi.
Dalam kejadian semalam, lebih 10 kampung di Lenggong dilanda banjir kilat termasuk di Malau, Sumpitan dan Kampong Geluk.
Sebanyak RM1 juta daripada peruntukan kerajaan persekutuan yang disalurkan ke Tabung Bencana Negeri, telah dikhaskan sebagai sebahagian daripada peruntukan menghadapi banjir di negeri ini.
Dalam pada itu, Dr Zambry menasihatkan penduduk yang menetap di sekitar kuala dan tebing Sungai Perak untuk sentiasa memberikan perhatian dan berjaga-jaga dengan paras air.
"Sungai Perak dibentuk oleh beribu-ribu anak sungai, itu yang kita lihat pada hari ini. Walaupun kawasan banjir hari ini tidak melibatkan Sungai Perak namun dengan taburan hujan yang sedang berlaku di Hulu Perak, kita ambil tindakan awal.
"Ini merupaka cara kita membuat persiapan awal. Jika ada apa-apa yang berlaku kita telah bersiap sedia," katany.
Dalam pada itu, Dr Zambry juga menghargai usaha semua pihak yang mengambil tindakan proaktif seperti turun padang sekali gus menangani kesulitan penduduk yang terjejas.
#banjir #Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir #Hulu Perak #Jabatan Pengairan dan Saliran #JPS #Lenggong #Menteri Besar Perak
;