Peruncit didenda RM10,000, jual telur lebihi harga kawalan

Sinar Harian
September 20, 2023 15:36 MYT
KPDN meminta peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.- Gambar fail
JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat peruncit didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, kerana menjual telur ayam melebihi harga kawalan yang ditetapkan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Lilis Saslinda Pornomo berkata, syarikat itu mengaku bersalah selepas dikesan melakukan perbuatan itu pada 2 Januari lalu.
Beliau berkata, syarikat tersebut didapati menjual telur ayam gred B dengan harga 70 sen sebiji, melebihi harga maksimum runcit yang ditentukan dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2022 iaitu 43 sen sebiji.
"Tindakan kes dihasilkan oleh anggota penguat kuasa Johor Bahru berdasarkan siasatan aduan orang awam di sebuah premis runcit sekitar kawasan Taman Dato’ Onn, Johor.
"Syarikat tersebut didapati melakukan kesalahan bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Lilis Saslinda meminta peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.
"Seramai 200 anggota penguat kuasa di seluruh negeri akan terus membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan ke atas bekalan barang keperluan asas agar ia mencukupi.
"Tindakan tegas akan diambil sekiranya mendapati peniaga yang melakukan kesalahan berkaitan bekalan dan harga," katanya. - Sinar Harian
#telur #kpdn #harga kawalan #hukuman denda
;