'Perumahan jadi tidak mampu milik kerana pendapatan rakyat tidak cukup, hutang tinggi'
Ridauddin Daud
Mac 2, 2023 13:10 MYT
Mac 2, 2023 13:10 MYT
KUALA LUMPUR: Perumahan menjadi sangat tidak mampu dimiliki kerana kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai pendapatan tidak mencukupi serta mempunyai tahap keberhutangan yang tinggi.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, dapatan itu adalah berdasarkan “Sorotan: Ke(tidak)mampuan Memiliki Rumah” yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia.
Menurutnya, rakyat tidak mampu untuk memiliki rumah kerana Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkompaun (2014 hingga 2020) menunjukkan peningkatan harga rumah sebanyak 4.1 peratus.
Peningkatan itu lebih tinggi jika dibandingkan dengan kadar kenaikan pendapatan yang hanya meningkat sebanyak 2.1 peratus.
“Bagi membantu pembeli rumah pertama, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti melancarkan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) dengan kerjasama Kementerian Kewangan.
“Salah satu inisiatif di bawahnya adalah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) iaitu pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan yang ditawarkan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan gig ekonomi.
“KPKT juga mengumumkan inisiatif i-Miliki yang melibatkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama bagi rumah berharga sehingga RM1 juta,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga melaksanakan beberapa tindakan bagi memastikan harga rumah adalah terkawal dan mampu dimiliki.
Antaranya adalah memperkenalkan Dasar Rumah Mampu Milik (DRMM) dan akan melaksanakan pemetaan Indeks Rumah Mampu Milik.
Selain itu, kerajaan juga menggalakkan pemaju untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan atau feasibility study sebelum sesuatu pemajuan dilaksanakan.
Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH - Batu Pahat) yang bertanya langkah kementerian untuk membendung isu harga rumah yang dilihat semakin meningkat.