Perubahan trend pelancongan sejak pandemik antara faktor kekurangan pelancong di Tasik Kenyir
Bernama
November 20, 2024 16:36 MYT
November 20, 2024 16:36 MYT
KUALA TERENGGANU: Kesan pascapandemik COVID-19 yang mengubah trend pelancongan di negara ini antara faktor kemerosotan jumlah kehadiran pelancong ke Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata sejak pandemik COVID-19, corak atau trend perjalanan pelancong berubah dengan ramai yang memilih destinasi pelancongan menawarkan akses dan kemudahan lengkap.
"Oleh itu, produk pelancongan di Tasik Kenyir perlu dipromosikan secara lebih agresif dan relevan selaras dengan trend terkini," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Zawawi Ismail (Pas-Telemung) mengenai kehadiran pelancong ke Tasik Kenyir akhir-akhir ini yang didapati sangat berkurangan berbanding tahun sebelumnya yang boleh mencecah 700,000 orang setiap tahun.
Razali berkata kekurangan promosi bersepadu juga antara faktor menyebabkan jumlah pelancong menurun ke destinasi pelancongan itu.
Beliau berkata promosi berterusan dan menyeluruh diperlukan untuk memperkenalkan keunikan yang ada di Tasik Kenyir seperti Pusat Konservasi Gajah Tasik Kenyir (KECV) dan Kenyir Geopark kepada pelancong.
Sehubungan itu, katanya kerajaan Terengganu kini giat berusaha mengembalikan semula kemeriahan pelancong ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu antaranya kempen menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
Selain itu, katanya Tasik Kenyir juga akan diketengahkan sebagai produk utama dalam pameran pelancongan di dalam dan luar negara, selain bekerjasama dengan pelbagai agensi pelancongan tempatan serta antarabangsa.
-- BERNAMA