Perubahan protokol kesihatan, langkah awal memasuki fasa endemik - Pakar

Fareez Azman
Februari 25, 2022 17:24 MYT
Protokol ini adalah juga pemangkin kepada masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dalam melengkapkan vaksinasi dan pengambilan dos penggalak masing-masing. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perubahan protokol kesihatan terutama melibatkan kontak rapat kepada pesakit COVID-19 seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam adalah langkah terbaik negara memasuki fasa endemik.
Menurut Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin, ia membuktikan bahawa pengurusan risiko kesihatan di negara ini lebih mesra rakyat dan ekonomi.
"Ianya sesuai dari sudut pengurusan risiko kesihatan dan strategi kawalan COVID-19 menuju ke fasa endemik. Jadi protokol baharu ini ianya tepat, menepati data yang ada, mengikut maklumat semasa yang ada.
"Kawalan penjagaan dilonggar atau tidak perlu kuarantin, ini kerana trend penularan dan jangkitan varian Omicron pada masa sekarang amat pantas tetapi tidak teruk berbanding varian lain.
"Jadi secara ringkas boleh saya katakan disini ini adalah protokol mesra rakyat dan mesra ekonomi," jelasnya ketika ditemubual Astro AWANI pada Jumaat.
Tambahnya, protokol baharu itu juga dijangka memberi lebih tanggungjawab kepada rakyat mengenai perlindungan kendiri.
"Varian Omicron ini juga boleh bercambah dan menular dalam bentuk varian lain yang mana kita belum tahu. Sebab itu kita harus lebih berjaga jaga.
"Protokol ini pemangkin kepada masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dalam melengkapkan vaksinasi dan pengambilan dos penggalak masing-masing.
"Ini perlu kita tekankan kepada rakyat masa sekarang melengkapkan dos vaksinasi dan pelengkap, dan meningkatkan displin kendiri dalam mematuhi SOP. Ini langkah awal sebelum kita memasuki fasa endemik," jelasnya lagi.
Khairy pada Khamis memaklumkan kontak rapat kepada pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan berumur lebih 18 tahun serta sudah menerima dos penggalak tidak perlu menjalani Perintah Perintah Pemantauan dan Pemerhatian (HSO) berkuatkuasa 1 Mac ini.
Jelasnya, mereka bagaimanapun perlu melakukan ujian Rapid Test Kit (RTK) kendiri pada hari pertama dan ketiga daripada tarikh akhir pendedahan kepada kes positif COVID-19.
#Khairy Jamaluddin #pengurusan risiko #KKM #Pakar Pengurusan #COVID-19 #penularan #varian omicron #kontak rapat
;