Perubahan iklim: Utamakan kesepaduan langkah mitigasi dan adaptasi - Zaini Ujang
Madiha Abdullah
Februari 16, 2022 16:49 MYT
Februari 16, 2022 16:49 MYT
KUALA LUMPUR: Langkah mitigasi semata-mata dalam berhadapan dengan perubahan iklim tidak cukup kerana ia perlu disertai dengan usaha adaptasi.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Zaini Ujang berkata, pihak bertanggungjawab perlu memfokuskan pada usaha yang menggabungkan kedua-dua langkah ini, yang dilihat lebih berkesan bagi jangka masa panjang.
"Kita mesti mencari lebih banyak projek, lebih banyak aktiviti, lebih banyak tindakan yang berkaitan yang boleh membantu mitigasi dan juga adaptasi.
"Jadi tumpuan saya adalah di tengah-tengah, antara keduanya. Kita perlu bercakap tentang pemuliharaan air. Kita perlu bercakap tentang sistem tenaga baharu. Kita perlu bercakap tentang pendidikan. Kita perlu bercakap tentang komuniti yang lengkap.
"Kesemua ini merangkumi kedua-dua, mitigasi dan penyesuaian. Jika orang bertanya kepada saya apa yang perlu dilakukan, jika mereka mempunyai sedikit wang untuk dibelanjakan bagi membiayai projek di bawah perubahan iklim, saya akan mencadangkan pemuliharaan air atau hutan bandar.
"Itu lebih bermakna berbanding menukar keseluruhan sektor pengangkutan, contohnya," katanya ketika bercakap dalam webinar Climate Action: How Could We Do It Together, Effectively anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia-Yayasan Sime Darby Chair for Sustainability, pada Selasa.
Mitigasi merujuk kepada satu tindakan untuk mengurangkan pelepasan karbon yang menyebabkan perubahan iklim, dan adaptasi merupakan satu tindakan untuk menguruskan risiko dari impak perubahan iklim.
Justeru, beliau menggariskan garis panduan yang digelar sebagai 7 Commandments, yang boleh dilakukan rakyat Malaysia bagi membantu usaha menangani perubahan iklim.
"Pilih kecekapan tenaga (energy efficiency). Ini sangat mudah dilakukan, sebagai contoh kalau ada 10 lampu, saya hanya gunakan satu atau dua lampu setiap hari.
"Kurangkan penggunaan air, kalau biasa kita menggunakan 10 liter air untuk ambil wuduk, sekarang kita boleh kurangkan dan menggunakan satu liter sahaja.
"Anda juga boleh berbasikal atau berjalan kaki untuk ke destinasi yang dekat. Apabila memandu dalam jarak dekat, kita selalu guna gear rendah dan ramai yang tak sedar itulah gear yang paling banyak menggunakan bahan bakar," jelasnya.
Selain itu, beberapa langkah lain ialah mengurangkan, mengguna semula bahan atau produk; memastikan kawasan kejiranan bersih dan hijau; membeli dan menjual produk dan perkhidmatan yang mesra alam sekitar; dan sentiasa memilih untuk mengambil tindakan terhadap perubahan iklim.
Malaysia, tambahnya, belum menuju ke arah pengisytiharan climate emergency kerana percaya masih banyak yang boleh dilakukan untuk menghadapinya.
"Kita positif, kita usaha dan buat mana yang mampu, kita nak semua berakhir dengan baik.
"Dalam hal ini, kalau nak cakap kenapa kerajaan tak buat itu, tak buat ini, panjang ceritanya. Jadi kita mulakan dengan diri sendiri dahulu, lakukan apa yang kita sendiri mampu buat," katanya lagi.