Perubahan iklim, pencemaran alam sekitar kekal cabaran utama kehidupan sejagat - Raja Zarith Sofiah

Bernama
November 14, 2023 08:00 MYT
Raja Zarith Sofiah bertitah sempena Majlis Persidangan Asia Pasific Climate Week 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru semalam. -- fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Permasuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar kekal menjadi cabaran utama dalam kehidupan sejagat yang memberi kesan kepada semua.
Baginda bertitah perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar menimbulkan risiko bukan sahaja kepada mata pencarian malah infrastruktur, pelaburan dan perniagaan.
"Malangnya dan menyedihkan, golongan paling terjejas adalah mereka yang sedia terdedah. Walau apa pun rancangan yang kita buat untuk menangani perubahan iklim, kita mesti sentiasa mempertimbangkan keluarga yang terdedah ini," titah Permaisuri Johor.
Baginda bertitah landskap geopolitik sedang berubah dan terdapat krisis di beberapa bahagian dunia.
"Krisis ini telah mendedahkan kerapuhan sistem ditetapkan dan diamalkan sejak beberapa dekad. Kini sudah tiba masa perubahan perlu dilakukan," titah baginda pada majlis pelancaran Pelan Induk Pembangunan Hijau Johor dan Pusat Kelestarian Johor (JSC) sempena Persidangan Asia Pacific Climate Week (APCW) 2023 di sini semalam.
Turut hadir Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Raja Zarith Sofiah bertitah bahawa Johor yang terletak di bahagian paling selatan Semenanjung Malaysia, menjadi antara kawasan terjejas akibat taburan hujan berlebihan dan tidak menentu sehingga menyebabkan banjir kerap berlaku.
"Banjir ini telah menyebabkan kehilangan nyawa, tempat tinggal, kerosakan alam sekitar, kerugian ekonomi dan juga mengubah morfologi sungai secara drastik.
"Bencana alam ini membuktikan air dan perubahan iklim mempunyai kaitan yang tidak dapat dipisahkan. Pemanasan global memburukkan keadaan kekurangan air dan bahaya berkaitan air," titah Raja Zarith Sofiah.
Permaisuri Johor memuji kerajaan negeri yang telah memainkan peranan aktif dalam memerangi isu perubahan iklim dan mempromosikan pembangunan hijau.
"Saya berbesar hati dan gembira kerana Johor menganjurkan acara penting yang membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap kelestarian dan inisiatif hijau, pada masa sama menyediakan platform untuk saintis, penggubal dasar dan pengamal untuk membincangkan perkara iklim menjelang Persidangan Perubahan Iklim PBB COP 28 di Dubai.
"Saya berharap dedikasi dan kepimpinan Johor dalam menganjurkan acara ini akan melakar kerjasama dengan lain-lain negeri di Malaysia dan negara di rantau Asia Pasifik dalam menangani cabaran krisis iklim global," titah Permaisuri Johor.
Mengenai Pelan Induk Pembangunan Hijau atau Perjanjian Hijau Johor, Raja Zrith Sofiah bertitah ia akan menjadi rujukan dan dasar utama untuk agenda pembangunan hijau serta membimbing Johor dari segi mengutamakan rangkaian projek pertumbuhan hijau bagi negeri itu.
Dalam memastikan Perjanjian Hijau Johor berkesan, baginda bertitah JSC akan berfungsi sebagai saluran penyelidikan bagi tujuan menasihati kerajaan negeri mengenai pembangunan hijau melalui kerjasama dengan institusi akademik dan pemain industri.
-- BERNAMA
#perubahan iklim #alam sekitar #Raja Zarith Sofiah #Taburan hujan
;