Perubahan iklim: Malaysia dilantik Pengerusi AWGCC 2022-2025 - Tuan Ibrahim

Bernama
Oktober 8, 2022 12:46 MYT
Menurut Tuan Ibrahim, ini memberi tanggungjawab yang lebih besar bagi Malaysia untuk terus memacu peranan agenda kelestarian bukan hanya di Malaysia tetapi juga di rantau ASEAN. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia dilantik sebagai Pengerusi Bagi Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Perubahan Iklim (2022-2025) (AWGCC).
Pelantikan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ke-33 ASEAN (ASOEN) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Siem Reap, Kemboja, yang diadakan dari 3 Okt hingga 7 Okt lepas.
Perkara tersebut turut dikongsikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu hantaran di Facebook beliau.
"Saya bersyukur dan menghargai pengiktirafan yang diberikan kepada Malaysia sebagai salah sebuah negara peneraju bagi agenda perubahan iklim di rantau ASEAN.
"Tanggungjawab yang lebih besar bagi Malaysia untuk terus memacu peranan agenda kelestarian bukan hanya di Malaysia tetapi juga di rantau ASEAN. Tahniah dan syabas!" katanya.
Sebelum ini, AWGCC dipengerusikan oleh Kemboja.
AWGCC ditubuhkan pada 2009 bagi meningkatkan kerjasama dan tindakan serantau untuk menangani kesan buruk perubahan iklim terhadap pembangunan sosioekonomi negara anggota ASEAN.
-- BERNAMA
#perubahan iklim #Malaysia dilantik Pengerusi #AWGCC #ASEAN #Tuan Ibrahim Tuan Man
;