Perubahan iklim boleh kurangkan KDNK Asia dan Pasifik sebanyak 17 peratus menjelang 2070 - ADB
Bernama
November 3, 2024 10:50 MYT
November 3, 2024 10:50 MYT
MANILA: Penyelidikan baharu Bank Pembangunan Asia (ADB) mendapati kesan perubahan iklim boleh mengurangkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) di negara-negara Asia dan Pasifik sebanyak 17 peratus menjelang 2070 jika pelepasan gas rumah hijau terus meningkat.
Jumlah ini boleh meningkat kepada 41 peratus menjelang 2100.
Kenaikan paras laut dan penurunan produktiviti buruh dijangka menjadi punca utama kerugian, dengan negara berpendapatan rendah paling terkesan, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Laporan pertama Laporan Iklim Asia-Pasifik ADB menerangkan impak buruk yang mengancam rantau ini.
Jika krisis iklim berterusan, sehingga 300 juta orang mungkin terancam oleh banjir dan aset bernilai trilion dolar boleh rosak setiap tahun menjelang 2070.
"Perubahan iklim telah memperhebatkan kemusnahan akibat ribut, gelombang haba, dan banjir di rantau ini, menyebabkan cabaran ekonomi dan penderitaan manusia," kata Presiden ADB, Masatsugu Asakawa.
"Tindakan segera dan kerjasama dalam menangani kesan ini sangat penting. Laporan ini memberikan panduan tentang bagaimana membiayai keperluan adaptasi segera dan mencadangkan dasar kepada kerajaan di negara anggota untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan kos yang rendah," katanya.
Laporan itu juga mendapati penduduk rantau ini menyokong tindakan iklim.
Dalam kajian ADB tahun ini, 91 peratus responden di 14 negara mengatakan mereka melihat pemanasan global sebagai masalah serius dan mahu tindakan kerajaan yang lebih tegas.
Keperluan pembiayaan untuk adaptasi iklim dianggarkan antara $102 bilion hingga $431 bilion setahun, jauh lebih tinggi daripada $34 bilion pembiayaan yang dicatat pada 2021-2022.
Walaupun reformasi kerajaan dan kesedaran risiko iklim menarik lebih banyak pelaburan swasta, pelaburan yang lebih besar masih diperlukan.
Dari sudut mitigasi, rantau ini berpotensi memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui untuk peralihan kepada pelepasan sifar bersih, dan pasaran karbon boleh membantu mencapai matlamat iklim dengan lebih berkesan, menurut laporan itu.
-- BERNAMA