Perubahan iklim beri cabaran besar kepada sektor komoditi

Bernama
Mac 9, 2023 08:00 MYT
Perubahan iklim akan terus menjadi cabaran terbesar bagi sektor komoditi pertanian. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perubahan iklim akan terus menjadi cabaran terbesar bagi sektor komoditi pertanian termasuk minyak sawit tahun ini, kata seorang pakar industri.
Pengarah Godrej International Trading and Investments Pte Ltd, Dorab Mistry berkata sektor itu berdepan bahaya kerana keadaan cuaca yang berubah-ubah boleh memusnahkan tanaman dalam masa dua hari.
Beliau juga memberi amaran bahawa fenomena iklim El Nino boleh melibatkan kawasan yang luas dari Pakistan hingga Australia dan itu akan memberi kesan mendalam terhadap pengeluaran komoditi pertanian.
"Saya tidak tahu sama ada fenomena El Nino akan bermula pada bulan Jun, Julai atau Ogos, jadi ia adalah sesuatu yang mustahil untuk mengatakan sama ada Malaysia boleh mengeluarkan 18 juta tan metrik minyak sawit mentah tahun ini," katanya pada Persidangan dan Pameran Unjuran Harga Minyak Sawit dan Laurik 2023 (POC 2023) di sini pada Rabu.
Mistry berkata seandainya El Nino tidak bermula pada bulan Jun atau Julai, pengeluaran minyak sawit akan berjalan seperti biasa dan akibatnya harga boleh menurun selepas Ogos tahun ini.
Bagaimanapun, sekiranya kitaran baharu bermula, secara psikologi, harga minyak sawit akan meningkat dengan perubahan iklim yang semakin buruk, penggiat industri tidak boleh turunkan harga pertanian lagi.
"Langkah selamat untuk pengguna dan pengeluar adalah dengan melindung nilai dan menempatkan kedudukan dengan berhati-hati di pasaran," katanya.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan prospek harga minyak sawit berlegar antara RM3,500 dan RM5,000 satu tan metrik menjelang akhir Mei 2023 di Malaysia.
Mistry berkata niaga hadapan sawit mentah pada dagangan bulan ketiga Bursa Malaysia Derivatives (BMD) adalah antara RM4,000 dan RM5,000 hingga Ogos 2023.
Sementara itu, susulan stok minyak sawit yang semakin terbatas di Indonesia, beliau berkata kapal-kapal lebih berminat untuk dihantar dari Malaysia kerana diskaun terhadap harga minyak sawit di Indonesia atau Malaysia adalah sama.
"Ini akan membawa kepada eksport yang lebih baik dan lebih tinggi di Malaysia...ia adalah di luar jangkaan semua orang. Eksport dan stok Malaysia yang akan menentukan output harga bukan Indonesia," katanya.
-- BERNAMA
#perubahan iklim #sektor pertanian #komoditi #minyak sawit
;