Perubahan geopolitik dan geoekonomi dunia bakal berlaku
Irwan Muhammad Zain
Mac 21, 2024 11:10 MYT
Mac 21, 2024 11:10 MYT
KUALA LUMPUR: Beberapa kejadian yang berlaku mutakhir ini menunjukkan seolah-olah akan berlaku perubahan dalam geopolitik dan geoekonomi dunia.
Menurut Felow Pengajian Islam di Universiti Oxford, Datuk Afifi al-Akiti. antaranya buat pertama kali dunia melihat Iran dan Arab Saudi duduk bersama dalam satu persidangan antara mazhab-mazhab agama Islam (Building Bridges between Islamic Schools of Thought and Sects) yang diadakan di Mekah pada 17 dan 18 Mac baru-baru ini.
Lebih menarik lagi, kata Afifi, persidangan tersebut dianjurkan oleh Liga Dunia Islam (Muslim World League) yang sebelum ini dikaitkan oleh sesetengah pihak sebagai badan dakwah yang menyebarkan dakyah Wahabi, satu fahaman yang dianggap ekstrem oleh beberapa pihak.
"Persidangan ini dihadiri oleh kebanyakan pemimpin dan ulama dunia Islam termasuk untuk pertama kalinya pemimpin dan ulama syiah dari Iran dan diadakan di Mekah, tanah suci bagi umat Islam pada bulan Ramadan ini," katanya dalam satu forum bertajuk Rising Tides: Geopolitics and Geoeconomics in a Global Context (Gelombang Pasang: Geopolitik dan Geoekonomi dalam Konteks Global)
Katanya, selain dari persidangan ini, kata-kata dari Wakil Tinggi Kesatuan Eropah untuk Hal Ehwal Luar Negera, Josep Borrell bahawa era penguasaan kuasa barat, sememangnya sudah pasti berakhir juga memberi makna tersendiri.
"Ini sangat berbeza dengan apa yang beliau ungkapkan 2 tahun sebelum ini yang menimbulkan kontroversi iaitu "eropah umpama sebuah taman, bahagian lain di dunia ini umpama hutan belukar", yang mana beliau memohon maaf kemudiannya.
"Beliau cuba untuk menjelaskan kenapa ramai yang berhijrah ke eropah, dan ini diungkap pada tahun 2022 tetapi bulan lepas, ini adalah peralihan pemikiran dan tindakan Josep Borrell dalam tempoh 2 tahun akibat perang Gaza," katanya lagi.
Beliau berkata semakin ramai yang memperkatakan tentang kebangkitan bahagian selatan dunia (global south) termasuk dari kalangan yang berkedudukan tinggi.
Katanya, adanya gabungan ekonomi negara-negara yang dianggotai Brazil, Rusia, China, India dan Afrika Selatan atau BRICS juga menunjukkan adanya penjajaran semula geopolitik dan geoekonomik yang baharu.
"Ada beberapa negara lain yang tahun ini menyertai BRICS termasuk Iran menjadikan sembilan negara, ini perkembangan baru yang sangat menarik dan mungkin menakutkan kuasa barat dan bahagian utara dunia (global north)," katanya.