Pertumbuhan sederhana: Ekonomi negara gagal diurus dengan cekap - Marzuki
Hasimi Muhamad
Ogos 22, 2023 19:35 MYT
Ogos 22, 2023 19:35 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memberi tumpuan penuh kepada usaha untuk memulih dan merancakkan ekonomi negara.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ke-8, Datuk Marzuki Mohamad berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berkembang sederhana kepada 2.9 peratus pada suku kedua 2023, menunjukkan indikasi bahawa ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya.
Marzuki mendakwa, apa yang berlaku sekarang ini seolah-olah menunjukkan ekonomi negara gagal diurus dengan cekap oleh kepimpinan kerajaan hari ini.
"Kerajaan perlu menyediakan satu peta arah tuju yang jelas bagaimana negara kita dapat keluar daripada kelembapan ekonomi dan masalah kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat," katanya di sini pada Selasa.
Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang secara sederhana pada 2.9 peratus tahun ke tahun dalam suku kedua, berbanding 5.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2023.
Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, berkata perkembangan sederhana pada suku kedua 2023 didorong oleh permintaan luaran yang lebih perlahan.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) perlu lebih kerap mengadakan pertemuan pada setiap minggu, kerana ia disifatkan sebagai platform penting dalam membuat keputusan-keputusan utama mengenai hal ekonomi negara.
Marzuki berkata, menerusi langkah ini, sebarang permasalahan yang membantut pertumbuhan ekonomi dapat diatasi dengan segera, manakala kerajaan dengan sokongan pihak industri bertindak sebagai pemudah cara kepada pemulihan ekonomi.
"Semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), MTEN yang dipengerusikan Perdana Menteri dan keanggotaanya termasuk menteri-menteri berkaitan ekonomi, Gabenor Bank Negara dan wakil-wakil industri bermesyuarat setiap minggu.
"Di sinilah indikator-indikator utama ekonomi dipantau dan keputusan-keputusan penting mengenai hala tuju ekonomi negara dibuat dan diambil tindakan segera oleh kerajaan," tambah Marzuki.