Pertumbuhan pasaran baharu akan susut 3.5 peratus - Moody's

Bernama
April 29, 2020 09:49 MYT
Penguncupan aktiviti ekonomi pada suku kedua akan menjadi teruk dan pemulihan keseluruhan pada separuh kedua tahun ini akan berlaku secara beransur-ansur. - Gambar fail
Kos ekonomi krisis akibat COVID-19 di tengah-tengah penutupan ekonomi global, tidak termasuk China telah terkumpul dengan cepat, dengan ekonomi pasaran baharu diunjurkan mencatat pertumbuhan -3.5 peratus pada tahun 2020, turun dari jangkaan 3.2 peratus sebelumnya berlakunya wabak tersebut.
Ekonomi China dijangka tumbuh satu peratus pada 2020.
Dalam satu kenyataan, Moody's Investors Service berkata ia menjangkakan ekonomi negara maju G-20, sebagai satu kumpulan, akan merosot sebanyak 5.8 peratus pada 2020. Walaupun dengan pemulihan secara beransur-ansur, pertumbuhan sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 di kebanyakan negara maju dijangka dapat berada di bawah tahap sebelum berlakunya penularan COVID-19 (coronavirus).
"Penguncupan aktiviti ekonomi pada suku kedua akan menjadi teruk dan pemulihan keseluruhan pada separuh kedua tahun ini akan berlaku secara beransur-ansur.
"Pemulihan juga mungkin tidak sama di semua sektor kerana kebimbangan jangkitan akan mengubah tingkah laku pengguna walaupun sekatan aktiviti perniagaan dan mobiliti ditarik balik," kata Naib Presiden Moody, Madhavi Bokil.
Beliau berkata perbelanjaan dalam aktiviti ekonomi yang memerlukan hubungan manusia yang tinggi seperti makan di luar, pergi ke pawagam, perjalanan udara dan menggunakan pelbagai pengangkutan, tidak mungkin menjadi normal sepenuhnya sehingga kadar jangkitan turun ke tahap yang sangat rendah atau vaksin atau rawatan yang berkesan tersedia untuk virus tersebut.
"Banyak perniagaan akan berusaha untuk kekal bertahan dalam keadaan ini, dan akhirnya beberapa perniagaan akan ditutup tanpa mengambil kira sokongan dasar terhadap ekonomi," katanya.
Permintaan terhadap minyak akan secara beransur-ansur meningkat pada separuh kedua tahun ini seiring dengan pelonggaran langkah-langkah penjarakan sosial. Bagaimanapun, peningkatan permintaan ini, digabungkan dengan had penyimpanan, menunjukkan bahawa pengeluaran inventori akan menjadi perlahan.
Hasilnya, Moody's menjangkakan harga minyak akan kekal rendah, dengan purata Brent US$35 setong (US $ 1 = RM4.35) dan kontrak untuk West Texas Intermediate (WTI) tahun ini ialah pada harga US$30 setong.
Madhavi berkata harga Brent dan WTI masing-masing naik hingga secara purata US$45 dan $40 setong, pada tahun 2021, kerana peningkatan aktiviti ekonomi secara beransur-ansur.
Penutupan yang lebih lama atau berulang akan merosakkan ekonomi sebenar, yang berpotensi mencetuskan krisis kewangan. Dalam senario seperti itu, kejutan ekonomi akan menghasilkan krisis kewangan jauh lebih buruk daripada pengalaman krisis kewangan global, dari segi skala.
Ketidaksamaan yang semakin meningkat, kerana bahagian yang paling lemah mengalami kejutan, akan menyebabkan ketidakpuasan sosial dan ketidakstablian politik, katanya.
-- BERNAMA
#China #COVID-19 #ekonomi #KDNK #minyak #politik #WTI
;