Pertumbuhan ekonomi: Sangkal dakwaan pembangkang negara akan bankrap - Ismail Sabri

Hasimi Muhamad
Ogos 14, 2022 17:12 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Konvensyen Wanita Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 membuktikan dakwaan pembangkang bahawa kononnya negara akan bankrap adalah tidak benar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pertumbuhan positif tersebut antaranya disumbangkan oleh dasar monetari dan keputusan kerajaan untuk membuka sektor ekonomi serta sempadan negara.
Tindakan tersebut, jelas beliau turut memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur asing untuk meningkatkan pelaburan apabila kerajaan berpendirian untuk tidak menutup semula sempadan negara walaupun berlaku kenaikan kes COVID-19.
"Kalau kita bandingkan dengan negara-negara lain di ASEAN seperti Singapura (Keluaran Dalam Negara Kasar) 4.4 peratus, Indonesia (5.4 peratus), Filipina (7.4 peratus), Amerika Syarikat (1.6 peratus), Kesatuan Eropah (4.0 peratus), China (0.4 peratus) dan Korea Selatan (2.9 peratus)
"Bermakna kita adalah yang tertinggi berbanding negara-negara tersebut. Dari segi pengangguran juga seperti diumumkan lebih awal, kita telah pun dapat mengurangkan kadar pengangguran daripada 4.3 peratus kepada 3.8 peratus," katanya dalam sidang akhbar di selepas berucap pada Konvensyen dan Pelancaran Jentera Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
BACA: Pertumbuhan ekonomi suku ketiga dijangka kekal kukuh - Tengku Zafrul
Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini.
Situasi itu sekali gus menjadikan pertumbuhan pada separuh pertama 2022 sebanyak 6.9 peratus.
BACA: KDNK: Tumbuh 8.9 peratus, diunjur terus berkembang tahun ini - Gabenor
Sementara itu, Kementerian Kewangan (MoF) pula menjangkakan momentum perkembangan ekonomi negara akan terus kukuh pada suku ketiga tahun ini, didorong oleh prestasi yang menggalakkan dalam perdagangan luar dan sektor pelancongan yang memberansangkan.
#negara bankrap #KDNK suku kedua Malaysia #Ekonomi Malaysia suku kedua #ismail sabri yaakob
;