Pertukaran pertahanan antara Jepun-Malaysia kembali ke tahap sebelum ini - Duta
Bernama
Julai 5, 2023 23:30 MYT
Julai 5, 2023 23:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pertukaran pertahanan antara Jepun dan Malaysia kembali ke tahap prapandemik, kata Duta Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi.
"Perkongsian Jepun dengan Malaysia sentiasa berjaya sejak kita menjalinkan hubungan diplomatik pada 1957 dan tidak terkecuali kerjasama pertahanan dua hala.
"Sekarang pandemik COVID-19 telah berakhir, pertukaran pertahanan kembali ke tahap sebelum ini. SDF Maritim Jepun dan Tentera Laut Diraja Malaysia bertukar lawatan kapal dan kami juga melakukan pertukaran dalam kalangan anggota".
Takahashi berkata demikian dalam ucapannya sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Jepun ke-69 di kediamannya, di sini, pada Rabu.
Beliau berharap pertukaran itu akan dapat memudahkan lagi kerjasama pertahanan dan menyumbang kepada keamanan serta kestabilan di Indo-Pasifik dalam persekitaran keselamatan yang semakin hari semakin mencabar.
Sempena ulang tahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun pada tahun ini, duta itu berharap sokongan dan kerjasama yang berterusan terhadap dasar Jepun serta usaha bersama dengan Malaysia dan negara-negara ASEAN.
"Kami berharap kerjasama 50 tahun kami akan diteruskan 50 tahun lagi dan seterusnya," kata Takahashi.
Turut hadir pada majlis resepsi itu pegawai tinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia, duta dan atase tentera kor diplomatik di Malaysia.
Pasukan tentera Jepun telah ditubuhkan pada tahun 1871, tidak lama selepas era Samurai feudal berakhir.
Pada tahun 1954, pasukan itu mengalami perubahan dan dikenali sebagai Tentera Darat, Maritim dan Udara.
-- BERNAMA