Pertukaran nama Bukit St Paul boleh dilaksanakan tahun ini - Exco
Shuhada Abdul Kadir
Mac 3, 2022 14:06 MYT
Mac 3, 2022 14:06 MYT
BANDARAYA MELAKA: Kerajaan negeri masih di peringkat kajian dalam menentukan pertukaran nama ikon pelancongan Melaka, Bukit St Paul di Bandar Hilir, kepada nama asalnya, Bukit Melaka.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, terdapat beberapa sumber sejarah yang perlu dikenal pasti sebelum ia dibawa ke peringkat seterusnya untuk diwartakan.
Bagaimanapun, beliau yakin, pertukaran yang dibuat bagi mengembalikan identiti bangsa Melaka itu sendiri, dapat direalisasikan selewat-lewatnya tahun ini.
"Dalam hal ini, kerajaan negeri tidak akan sentuh elemen agama atau elemen bangsa. Kerana, pada kami, ini juga salah satu warisan bersejarah.
"Kita tidak menukar nama gereja. Hanya bukit ini akan dinamakan kepada nama asal. Dan, pertukaran ini dibuat di banyak negara. Setiap negeri juga ada melakukannya," katanya di sini hari ini.
Muhammad Jailani turut memberi jaminan kepada rakyat Melaka bahawa aspek agama dan bangsa akan sentiasa terpelihara dan dijadikan sejarah warisan.
Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Mohd Nasruddin Rahman berkata, keputusan menukar kembali kepada nama yang digunakan sewaktu Kesultanan Melayu Melaka dahulu itu jelas tidak melibatkan lokasi atau kedudukan Gereja St Paul yang terletak di atas bukit itu.
Katanya, cadangan itu dibuat menerusi kajian yang cukup terperinci termasuk mengambil pandangan pakar-pakar sejarah seluruh negara.
“Bukit ini menjadi saksi bisu kepada kepesatan pembangunan dan kemakmuran Melaka, dari zaman kesultanan Melayu Melaka sehingga kepada kehancuran, serta peperangan demi peperangan silih berganti, dari kuasa-kuasa Barat.
“Jadi, keputusan menukar nama ini untuk kembalikan identiti dan jati diri, daripada penjajah kepada tempatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sebelum ini, cadangan PERZIM untuk mengembalikan semula nama Bukit Melaka mendapat tentangan pelbagai pihak yang yang mahu ia terus dikenali sebagai Bukit St Paul.
Pada masa sama, Mohd Nasruddin dilaporkan berkata, pihaknya sudah memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menamakan Bukit St Paul sebagai Bukit Melaka.