Pertukaran maklumat penting demi keselamatan negara - TPM

Bernama
Ogos 6, 2016 18:50 MYT
DATUK SERI AHMAD ZAHID: Soalnya bukan 'jika' tapi 'bila ia akan berlaku. -Gambar fail
Semua pihak sama ada pemimpin parti politik atau orang awam diingatkan supaya tidak memperkecilkan pertukaran maklumat khususnya berkaitan ancaman terhadap keselamatan negara antara Malaysia dengan negara lain.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menegaskan perkara itu berkata pertukaran maklumat penting demi keselamatan rakyat, kerana ancaman pengganas ketika ini kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa.
"Soalnya bukan 'jika' tapi 'bila ia akan berlaku', jangan fikir ini isu politik, jangan ingat kami (pihak berkuasa) cuma berikan ugutan.
"Kami berikan maklumat supaya kita siap siaga dan boleh ambil tindakan, tidak mahu serangan seperti di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor pada 28 Jun lalu (berulang)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh di Wisma UMNO, Hutan Melintang di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut yang dihadiri 477 perwakilan dirasmikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata bagi memastikan usaha mengekang kegiatan serta ancaman militan Daish daripada menular dalam kalangan rakyat di negara ini, ia menuntut jalinan serta kerjasama daripada parti-parti politik.
"Walaupun pembangkang, tapi sama-samalah kita tangani permasalahan Daish ini, ketepikan kepentingan politik dan sama-sama mengatasi pengaruh Daish menerusi media sosial," katanya.
Ditanya mengenai enam rakyat Indonesia ditangkap di Pulau Batam kerana merancang serangan terhadap Singapura, Ahmad Zahid berkata ketika ini terdapat lebih 300 pengikut Abu Bakar Bashir berada di pulau itu.
"Beliau (Abu Bakar) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan telah berakhir dan bebas, sebab itu mereka di Batam mahu menjadikan ia sebagai wilayah baharu Daish," katanya.
Timbalan perdana menteri berkata bagi memastikan semua ancaman dan pengaruh militan tidak masuk ke negara ini, pihak keselamatan telah menempatkan pelbagai aset dan kekuatan di kawasan berisiko.
"Kita telah kenal pasti kawasan dinamakan 'black spot'. Selain itu kita juga akan menggunakan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi untuk pemantauan menerusi media sosial," katanya.
Dalam sidang media itu, Ahmad Zahid turut menyelar tindakan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang mahu melancarkan kempen mengumpul 10,000 tandatangan bagi menghalang Pusat Tahanan Kamunting di Taiping untuk dijadikan pusat tahanan Daish.
"Jabatan Penjara telah melakukan pengubahsuaian pusat tahanan itu untuk membolehkan proses deradikalisasi (pemulihan) ke atas mereka dijalankan supaya bila keluar mereka boleh diterima oleh rakyat dan masyarakat.
"Kita tidak mempunyai waktu dan kos untuk membina penjara baharu, jadi kita gunakan Kem Kamunting ini. Masalah keselamatan negara tidak ada kompromi, walaupun berbeza ia harus diterima dengan baik," tegasnya.
Timbalan perdana menteri memberi jaminan bahawa penduduk di Taiping dan kawasan sekitar supaya tidak bimbang dengan keselamatan mereka dengan keputusan kerajaan itu.
Sementara itu, Hishammuddin turut senada dengan Ahmad Zahid bahawa pemimpin politik mempunyai peranan penting untuk mengekang ancaman Daish.
"Keperluan ini tidak kepada negara kita sahaja, malah negara besar juga terkapai-kapai untuk menangani isu Daish ini," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata Daish bukan sekadar ancaman kepada keselamatan, tetapi juga terhadap demokrasi dan kedaulatan undang-undang negara.
"Sekarang, Malaysia yang Islamik ini sedang diancam oleh Daish yang ideologinya, pendekatannya, tindakannya sangat salah di sisi Islam.
"UMNO harus menjadi pembela Islam, menjadi gerakan yang menentang sebarang unsur jahat yang cuba merosakkan Islam dan imej baiknya," katanya.
#ancaman terhadap keselamatan negara #pertukaran maklumat #Zahid Hamidi
;