Pertukaran dalaman JPN, PPD dibekukan - Maszlee
Harits Asyraf Hasnan
Jun 11, 2018 16:55 MYT
Jun 11, 2018 16:55 MYT
Kementerian Pendidikan membekukan semua pertukaran dalaman di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara berkuat kuasa serta merta.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata tindakan itu susulan terdapat unsur politik dalam institusi pendidikan negara.
“Ini adalah perkara yang mengecewakan kerana saya tidak mahu politik kepartian sempit mempengaruhi institusi-institusi pendidikan yang bakal membentuk masa depan anak kita,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Maszlee berkata beliau telah mengarahkan pegawai tertinggi kementerian itu menyemak semula semua kenaikan pangkat dan pertukaran di peringkat JPN dan PPD yang berlaku dalam jangka masa dua bulan lalu.
“Diharap rakyat mendapat mesej jelas bahawa kita tidak akan berkompromi dengan sebarang anasir tidak sihat dalam pentadbiran pendidikan negara, terutama mereka yang sengaja mahu menyukarkan kita mereformasi sistem pentadbiran negara agar selaras dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.
Maszlee berkata kebanyakan kes yang dikesan berlaku di utara dan pantai timur namun beliau enggan memperincikan tahap jawatan terlibat.