Keputusan kerajaan negeri Johor menukar cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu tidak akan menjejaskan pelaburan sektor swasta di negeri berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perubahan sistem cuti itu tidak tertakluk kepada pihak swasta dan mereka masih boleh beroperasi seperti biasa dan pertukaran itu hanya tertakluk kepada perkhidmatan awam sahaja.

“Sektor swasta tidak akan terjejas dengan pertukaran cuti itu,’

“Kerajaan akan mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang menempatkan jabatan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di Johor Bahru dan ia akan dibuka tujuh hari seminggu dan orang ramai boleh memanfaatkannya,” jelasnya.

Tambah Najib, keputusan kerajaan negeri itu perlu dihormati dan kakitangan awam perlu menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

Sebelum ini, media Singapura melaporkan pertukaran cuti tersebut akan menjadikan Johor kurang menarik untuk pelaburan selain ia tidak tepat pada masanya.

Ia berikutan kerjasama dalam pelbagai sektor semakin meningkat antara Johor dan republik itu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia bukan masalah utama memandangkan Johor pada tahun 1994 pernah melaksanakan sistem cuti sedemikian dan tidak akan memberi impak besar kepada ekonomi negeri tersebut.

Pertukaran cuti hujung minggu itu dititahkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memberi keselesaan kepada umat Islam di negeri itu beribadat.