Pertuduhan Sanusi tiada kaitan dengan kerajaan - Fahmi Fadzil

Sinar Harian
Julai 19, 2023 10:38 MYT
Fahmi Fadzil (kiri) mendakwa, kerajaan sama sekali tidak ada kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
SHAH ALAM: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mendakwa, kerajaan sama sekali tidak ada kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata, pertuduhan terhadap Sanusi itu susulan daripada kenyataannya yang cenderung untuk tidak setia kepada institusi diraja.
“Ini tiada kaitan dengan kerajaan. Kamu buat kenyataan yang ada kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman sosial, Facebook, pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan Sanusi mendakwa pertuduhan yang dihadapinya adalah bukti bahawa kerajaan kini berada dalam ketakutan.
Beliau berkata, pertuduhan itu jelas bermotifkan politik dan menjejaskan beliau dalam mendepani pilihan raya negeri (PRN).
Pada Selasa, Sanusi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Selayang, atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.
Mengikut pertuduhan, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan perbuatan yang mengandungi kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang boleh membangkitkan perasaan untuk tidak setia terhadap mana-mana raja. - Sinar Harian
#Muhammad Sanusi Md Nor #Sanusi ditahan 3 pagi #Menteri Besar Kedah #Fahmi Fadzil
;