Pertuduhan abai kanak-kanak ke atas ibu bapa seharusnya jadi teladan - Pakar

Azib Zikry
Jun 13, 2024 11:50 MYT
Noor Aziah berkata, jika sesuatu terjadi kepada kanak-kanak itu terutamanya menyebabkan kecederaan fizikal atau kematian, ibu bapa akan dituduh di mahkamah kerana kemalangan berlaku disebabkan kecuaian ibu bapa. - Sumber foto SUHAKAM
KUALA LUMPUR: Pertuduhan pengabaian yang dibuat terhadap ibu bapa atau penjaga ke atas kanak-kanak seharusnya menjadi pengajaran yang perlu menjadi teladan.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, jika sesuatu terjadi kepada kanak-kanak itu terutamanya menyebabkan kecederaan fizikal atau kematian, ibu bapa akan dituduh di mahkamah kerana kemalangan berlaku disebabkan kecuaian ibu bapa.
"Bagi saya, tindakan diambil terhadap ibu bapa (mengabaikan kanak-kanak) ini seharusnya diberi teladan kepada orang lain supaya jangan terlepas pandang perkara seperti ini," kata Noor Aziah.
Menurutnya, hanya mahkamah yang boleh menentukan sama ada kemalangan yang ditimpa kanak-kanak itu adalah disebabkan takdir atau kecuaian dan pengabaian ibu bapa.
Jika dibawa ke mahkamah, katanya, Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang dipinda pada 2016 akan diguna pakai.
Antara lain Seksyen 31(1) (a) yang ditambah baik akan dipertingkat hukuman pesalah kepada denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Namun, di dalam pindaan itu juga turut menetapkan hukuman gantian berbentuk pengajaran, supaya kebajikan keluarga yang lain dapat dipelihara, tambahnya.
"Sebenarnya dalam Akta Kanak Kanak yang baharu ada beberapa pindaan telah dibuat yang memperuntukkan hukuman gantian.
"Antaranya, khidmat masyarakat dan sekarang ini di penjara juga ada diperkenalkan pembebasan beserta lesen dan sebagainya," katanya lagi.
Justeru, selain mengambil iktibar, masyarakat juga perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa jika terdapat salah laku dibuat ibu bapa yang mengabaikan kanak-kanak, tambahnya.
#pengabaian kanak-kanak #Noor Aziah Mohd Awal #Suhakam #hukuman mahkamah terhadap pengabaian kanak-kanak
;