Pertubuhan Rohingya di Malaysia sambut baik Resolusi UNSC mengenai Myanmar

Bernama
Disember 23, 2022 23:00 MYT
Zafar Ahmad berkata resolusi bersejarah itu menyerlahkan mengenai keperluan asas rakyat Myanmar. -Bernama
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM) pada Jumaat menyambut baik langkah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menerima pakai resolusi mengenai situasi di Myanmar.
Presiden MEHROM Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata resolusi bersejarah itu menyerlahkan mengenai keperluan asas rakyat Myanmar.
Bagaimanapun, beliau berkata resolusi itu gagal memasukkan peruntukkan membabitkan larangan pengedaran senjata kepada junta tentera, keadilan dan akauntabiliti serta jenayah genosid terhadap penduduk Rohingya.
"MERHROM berharap UNSC, Amerika Syarikat, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN termasuk kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman Rohingya di Myanmar," katanya dalam satu kenyataan.
UNSC pada Rabu menerima pakai resolusi yang mengecam pencabulan hak tentera Myanmar sejak rampasan kuasa 1 Feb 2021.
Resolusi bersejarah itu diluluskan dengan 12 undi menyokong dan tiga berkecual, merupakan resolusi pertama Majlis Keselamatan mengenai Myanmar sejak negara itu yang dahulu dikenali sebagai Burma memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 1948.
Zafar Ahmad berkata MERHROM amat berharap resolusi itu akan diterjemahkan kepada tindakan tanpa berlengah dan menyeru ASEAN untuk memulakan langkah khas bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai Rohingya dan penganiayaan terhadap rakyat Myanmar.
-- BERNAMA
#Rohingya #Zafar Ahmad Abdul Ghani #UNSC #MEHROM