Pertubuhan haram Ayahanda Harimau Kumbang tumbang, pegawai polis antara 21 ditahan
Nur Fazlizai Ali
Januari 24, 2023 16:25 MYT
Januari 24, 2023 16:25 MYT
KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan kegiatan pertubuhan haram yang turut dianggotai pegawai dan anggota polis yang bernaung di bawah kumpulan Ayahanda Harimau Kumbang (AHK).
Ia susulan penahanan 21 individu termasuk dua pegawai kanan polis serta 12 anggota pangkat rendah menerusi operasi khas Op Selendang pada Khamis hingga Sabtu lalu di Dungun dan Kuala Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dua pegawai berpangkat Inspektor dan anggota yang ditahan itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.
Katanya kumpulan yang diketuai peniaga berusia 39 tahun itu dipercayai aktif dalam kegiatan berkenaan di sekitar daerah Dungun sejak beberapa tahun lalu.
“Tidak semua ahli kumpulan ini (ditahan) tetapi yang mana kita tangkap ini memang dikenal pasti dengan beberapa kes berunsurkan keganasan ataupun elemen gangsterism.
“Contohnya menjadi orang tengah untuk mengutip wang, hutang ah long. Mereka ini orang tengah untuk mengutip dengan menggunakan elemen kekerasan dengan ugutan jenayah. Juga aktiviti menarik kereta, contohnya menggunakan juga ugutan jenayah untuk dalam proses mereka menarik kereta,” katanya.
Rohaimi bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu.
Beliau berkata susulan penahanan itu, pihak polis turut merampas beberapa barangan termasuk peralatan ritual angkat sumpah, lapan buah kereta, 28 buah telefon bimbit, enam bilah pedang dan al-Quran.
Menurut Rohaimi lagi, susulan itu sepuluh anggota berkenaan telah ditahan kerja bermula Isnin manakala dua pegawai berkenaan masih menunggu tindakan lanjut dari Bukit Aman.
Jelasnya kesemua suspek yang berusia 20 hingga 49 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.