Pertingkat rantaian industri PKS dan firma besar

Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman
Januari 30, 2019 15:53 MYT
Kajian mendapati wujud ketidakseimbangan simbiosis di antara PKS dan firma besar di Malaysia. - Gambar hiasan
PADA Selasa (29 Januari), Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli telah melancarkan Jadual Input-Output PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana).
Jadual Input-Output PKS tersebut merupakan pangkalan data yang dibangunkan hasil kolaborasi penyelidikan di antara SMECorp Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pangkalan data ini menyediakan maklumat aliran urusniaga di antara industri mikro, kecil dan sederhana serta industri besar di dalam ekonomi di Malaysia.
Hasil kajian daripada pangkalan data berkenaan menunjukkan terdapatnya hubungan rantaian bekalan yang lemah di antara industri PKS dan firma besar.
Wujud ketidakseimbangan simbiosis di antara PKS dan firma besar di Malaysia.
Contohnya, industri PKS didapati membeli 37.1 peratus bahan mentah mereka daripada firma besar, manakala firma besar pula hanya membeli 10.2 peratus bahan mentah daripada industri PKS.
Firma besar didapati lebih tertumpu kepada rantaian bekalan sesama mereka dan rantaian global melalui import.
Analisis data ini juga menunjukkan bahawa hubungan antara firma besar dan PKS lebih menjurus kepada persaingan perniagaan berbanding berfungsi sebagai sebuah jalinan kluster perniagaan yang bersinergi.
Umum mengetahui bahawa firma besar dilihat mempunyai kelebihan dari segi kapasiti modal, pekerja berkemahiran, penggunaan teknologi terkini dan jaringan pasaran global yang lebih kuat.
Jika sinergi PKS dan firma besar diperkukuh, ini akan memberikan impak yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Perhatian khusus juga perlu diambil kira terhadap kemampuan dan ketersediaan PKS untuk menembusi rantaian nilai global yang semakin kompetitif.
Menurut Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), integrasi PKS dalam rantaian nilai global masih berada pada tahap bernilai rendah, yang mana koordinasi dan kesalingbergantungan di antara firma besar dan PKS dilihat amat penting sebagai sumber penghasilan ekonomi yang bernilai tinggi dan persaingan di sepanjang rantaian bekalan.
Rantaian bekalan yang lemah di antara PKS dan firma besar ini memerlukan perhatian serius oleh pihak kerajaan menerusi kementerian dan agensi yang terbabit.
Ini bagi memastikan keupayaan PKS terus diperkasa melalui simbiosis PKS dan firma besar selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada KDNK negara sebanyak 41 peratus pada tahun 2020.

* Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman merupakan pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#Kementerian Pembangunan Usahawan #Kolumnis AWANI #PKS
;