Pertimbang sijil halal di premis makanan ‘mesra Islam’ - MIC

Umavathi Ramayah
September 15, 2024 15:40 MYT
Vigneswaran (tengah) pada Perhimpunan Perwakilan MIC Kebangsaan Ke-78 pada Ahad.
SHAH ALAM: MIC meminta kerajaan supaya mempertimbangkan pemberian status sijil halal bagi premis makanan dan restoran ‘mesra Islam’ yang dikendalikan pengusaha India.

Ringkasan AI
  • MIC minta kerajaan mempertimbangkan status sijil halal untuk premis makanan dan restoran 'mesra Islam' yang dikendalikan oleh pengusaha India.
  • Tan Sri S A Vigneswaran menyatakan kebimbangan bahawa syarat sijil halal tidak sepatutnya menyekat penggunaan imej agama lain di premis makanan, kerana ini boleh menjejaskan kebebasan beragama.
  • Beliau menegaskan bahawa sekatan tersebut boleh membawa kesan negatif kepada perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia, memberi contoh situasi di mana rakan-rakan dari kaum lain mungkin tidak dapat menghadiri rumah terbuka kerana adanya imej agama di rumah.

Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, status halal di premis makanan memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan dan kepercayaan pengguna, terutamanya rakyat beragama Islam.
“Syarat untuk mendapat sijil halal bagi premis makanan, tidak kira bangsa dan agama, yang ingin menawarkan hidangan kepada pelanggan beragama Islam amat dialukan.
“Akan tetapi, saya berharap syarat tersebut tidak akan menyekat penggunaan imej berunsurkan agama kaum lain yang sering digunakan oleh pengusaha restoran bukan Islam di kaunter pembayaran sebagai tanda kepercayaan masing-masing.
“Meletakkan imej atau gambar dewa di premis makanan disifatkan sebagai melanggar peraturan atau panduan sijil halal berkaitan dengan penyediaan makanan.
“Timbul persoalan mengenai bagaimana kehadiran gambar dewa melanggar peraturan atau panduan halal yang berkaitan dengan penyediaan dan penyajian makanan.
“Adakah ia wajar untuk menganggap bahawa elemen-elemen ini, yang berkaitan dengan kebebasan beragama, boleh menghalang tempat tersebut daripada menerima pensijilan halal?’” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Perwakilan MIC Kebangsaan Ke-78, di sini, pada Ahad.
Vigneswaran menambah, sekatan itu hanya akan membawa kesan domino kepada asas perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.
“Misalannya, apabila rakan dari kaum lain menerima jemputan saya untuk menghadiri rumah terbuka Deepavali.
"Di rumah saya tiada masakan yang mengandungi barang tak halal. Kami hanya menghidang vegetarian food dan ayam dan kambing halal.
"Apa akan jadi jika sekatan dikenakan, rumah saya tidak boleh dikunjungi orang Islam kerana walaupun makanan yang kami adalah halal, tetapi ada imej Hindu dalam rumah saya yang menjadikan tempat saya tidak halal?
“Apakah rakan-rakan saya tidak boleh menjamu selera di rumah saya? Inilah realiti yang bakal berlaku jika sekatan sebegini dikenakan," katanya lagi.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#sijil halal #S A Vigneswaran #premis makanan dan restoran mesra Islam #pengusaha India
;