AS pertimbang petisyen batal pengharaman sawit FGV

Najib Aroff
Oktober 15, 2020 13:36 MYT
Pada 8 Oktober, FGV telah berhubung dengan CBP melalui panggil sidang untuk mendapatkan penjelasan tentang hasil siasatan jabatan itu serta langkah yang wajar diambil FGV untuk membatalkan WRO.
KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) akan mempertimbangkan sebarang petisyen membatalkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) terhadap minyak dan produk sawit keluaran FGV, menurut FGV Holdings Berhad.
"Pada 8 Oktober FGV berhubung dengan CBP melalui panggil sidang untuk mendapatkan penjelasan tentang hasil siasatan jabatan itu serta langkah yang wajar diambil FGV untuk membatalkan WRO.
"Bagaimanapun CBP tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat berkaitan hasil siasatan mereka kecuali berkaitan dapatan 11 petunjuk Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan buruh paksa dalam amalan FGV.
"CBP tidak menjelaskan maklumat lanjut apakah dapatan tersebut termasuk jenis dan lokasi insiden itu dilaporkan berlaku," kata FGV dalam kenyataan pada Khamis.
Justeru petisyen akan disertakan dengan laporan audit dari pihak bebas ketiga yang boleh dipercayai serta adil.
"Sehubungan itu, FGV sudah berhubung dengan beberapa organisasi bebas untuk melakukan audit terhadap operasi FGV.
"FGV akan memuktamadkan pelantikan firma audit ini dalam masa beberapa minggu dan memulakan proses audit," tambah syarikat itu.
Pada 30 September Amerika Syarikat melalui CBP mengharamkan import minyak dan produk sawit dari FGV susulan siasatan badan itu yang mendakwa berlaku amalan buruh paksa.
BACA: Amerika Syarikat haramkan import produk sawit dari FGV
BACA: FGV kecewa dengan larangan AS, komited mengangkat hak pekerja
#FGV #Amerika Syarikat #minyak sawit #Jabatan Perlindungan Sempadan dan Kastam #CBP #FGV Holdings Berhad
;