Pertimbang perluas program Setahun Bersama Kerajaan Madani ke seluruh negara - Anwar
Hasimi Muhamad
Disember 9, 2023 14:07 MYT
Disember 9, 2023 14:07 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat memperluaskan pameran seperti Program Setahun Bersama Kerajaan Madani ke seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan tersebut akan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
Jelas Anwar, program sedemikian dilihat mampu memberi pencerahan mengenai usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mensejahterakan rakyat.
“Saya saksikan minat rakyat bertambah baik dan kalau nampak perjalanan begini, kita mungkin menimbangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas hadir melawat Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Mengulas lanjut, Anwar berkata berdasarkan tinjauan hari ini, sambutan terhadap Program Setahun Bersama Kerajaan Madani disifatkan sebagai sangat menggalakkan.
“Kerjasama jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sangat memuaskan,” tambah beliau.
Dalam masa sama, Anwar menyeru para pengunjung terutama anak muda untuk mengunjungi setiap pameran kementerian dan mengambil manfaat daripada kemudahan yang diumumkan kerajaan.
Program Setahun Bersama Kerajaan Madani berlangsung selama tiga hari hingga Ahad ini bertujuan menyebar luas dan mempromosi dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentabiran negara pada 24 November 2022.
Selain itu, program itu yang menyasarkan 200,000 pengunjung juga bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.
Bukan itu sahaja, pelbagai tarikan juga menanti pengunjung termasuk kaunter pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kaunter pendaftaran Program Cuti-cuti Cikgu dan kaunter wang tidak dituntut (JANM).
Perdana Menteri dijadual merasmikan majlis penutupan pada Ahad.