Pertimbang haramkan operasi bas ekspres pada waktu malam untuk elak kemalangan

Bernama
Disember 30, 2016 22:48 MYT
Kementerian Pengangkutan disaran agar mempertimbang cadangan mengharamkan operasi bas ekspres pada waktu malam bagi mengelakkan kemalangan. - Gambar fail
Kementerian Pengangkutan disaran agar mempertimbang cadangan mengharamkan operasi bas ekspres pada waktu malam bagi mengelakkan kemalangan maut melibatkan kenderaan awam itu.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata pihaknya menyokong penuh cadangan yang dikemukakan Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan menyifatkannya sebagai inisiatif terbaik bagi menjamin keselamatan pemandu dan penumpang bas ekspres.
"Saya ada membaca artikel (kolum dalam The Sun) Datuk Seri Azman hari ini dan menganggapnya sebagai cadangan sangat baik memandangkan kemalangan melibatkan bas ekspres sudah banyak kali berlaku dan ramai yang maut.
"Walaupun ada lebih daripada seorang pemandu bas ekspres, tetap tidak wajar memandu pada masa tertentu terutama lewat malam, kebiasaan bagi manusia untuk tidur dan berehat pada waktu itu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata, seringkali pihak berwajib mengeluarkan kenyataan seperti akan melakukan siasatan atau menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat sesuatu insiden, namun akhirnya tiada sebarang tindakan susulan diambil.
Mohd Yussof berkata kementerian berkenaan tidak boleh bertindak sambil lewa dan mengabaikan cadangan seumpama itu kerana ia melibatkan kepentingan pelbagai pihak terutama dalam hal melibatkan nyawa orang ramai.
"Jangan sudah terhantuk baru terngadah, kerajaan kena ambil tindakan without fear or favour," katanya.
Azman dalam ruangannya dalam sebuah akhbar tempatan hari ini menekankan supaya pihak berkuasa mengharamkan operasi bas ekspres pada "waktun tidak sesuai" (malam).
"Ia memang waktu yang tidak sesuai apabila sistem tubuh badan kita "memberi isyarat" bahawa seseorang perlu tidur waktu itu dan tidak sebaliknya berada di jalan raya memandu dalam perjalanan yang lama dan membosankan dengan mempertaruhkan banyak nyawa.
"Sesiapa yang tidak bersetuju dengan perkara ini, biarlah saya katakan" cuba memandu bas ataupun kereta pada waktu yang mengantuk dan beritahu saya pengalaman anda," kata beliau.
#bas ekspres #Kementerian Pengangkutan #pemenang
;