'Pertimbang cadangan rasionalisasi minyak RM1.80 seliter, kuota 120 liter sebulan'

Astro Awani
September 30, 2014 17:09 MYT
IBRAHIM: Pertimbang cadangan rasionalisi minyak RM1.80 seliter, kuota 120 liter sebulan.
Kerajaan disaran meneliti dan memperhalusi skim 'diskaun' yang diperkenal Icash Global Rewards dalam kaedah pemberian subsidi minyak.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, kaedah yang diperkenalkan itu lebih kepada memberi subsidi untuk kumpulan sasar yang amat memerlukan bantuan, dan tidak kepada semua seperti sekarang.
"Syarikat ini berjaya menyahut seruan kerajaan untuk program inovasi bagi kaedah penstrukturan program subsidi minyak negara yang selama ini dicari-cari," katanya merujuk kepada kumpulan perbincangan yang diwujudkan Perkasa untuk meneliti keberkesanan cadangan Icash Global Rewards.
"Bagi rakyat biasa yang dahagakan bantuan dan menghadapi kos sara hidup yang sentiasa meningkat, sistem ini menawarkan cadangan pembelian minyak RM1.80 seliter untuk kuota 30 liter seminggu atau 120 liter sebulan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Perkasa di Kuala Lumpur di sini hari ini.
Tambahnya, pembelian yang melebihi kuota akan dikenakan harga RM2.10 seperti yang dicadangkan.
"Bagi pemilik kenderaan yang berkemampuan, mereka dicadangkan membeli minyak RON95 dengan harga tanpa subsidi iaitu RM2.86.
"Manakala bagi kenderaan bukan milik warganegara, mereka dicadangkan harga yang berpatutan tetapi masih rendah daripada harga jualan di negara masing-masing," ujarnya.
Dalam pada itu, tambah Ibrahim, harga minyak diesel bagi kenderaan logistik juga dapat diturunkan.
"Kita harap ia dapat diturunkan ke tahap paling minimum, contohnya RM1.50 seliter.
"Secara logiknya, ia dapat menurunkan harga barang dan keperluan harian termasuk tambang pengangkutan bas, feri, bas sekolah, dan lain-lain," ujarnya.
Katanya lagi, kaedah yang diperkenalkan itu membolehkan kerajaan mendapat penjimatan RM9.85 bilion setahun, sekali gus menghapuskan ketirisan, penyelewengan dan penyeludupan bahan bersubsidi.
"Kerajaan juga tidak perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan kerana iCash akan menanggung semua kos, termasuk mengeluarkan kad 1Malaysia," tambahnya.
#diesel #icash #liter #minyak #PERKASA #seludup #stesen #subsidi
;